fbpx

A Aida Masak Untuk Petugas Barisan Hadapan

Prihatin dengan barisan hadapan yang bertungkus lumus menjalankan tanggungjawab mereka ketika COVID-19 melanda negara, penerbit drama terkenal, Datuk A Aida menyediakan makanan untuk anggota keselamatan yang bertugas di sekatan jalan raya.

Menyertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sejak lima tahun lalu, Aida berkata dia terpanggil menyertai misi diatur selepas melihat komitmen dan kerja keras ditunjukkan petugas barisan hadapan.

BACA: A Aida Dah Jumpa Abang Sado & Six Pack

“Petugas barisan hadapan berpanas dan berhujan untuk kita, takkan kita tak boleh buat benda sama?. Kalau kita menyertai badan beruniform, tetapi tidak membantu, baiklah kita gantung dan pulangkan balik pakaian seragam kita.

“Negara memerlukan kita dalam keadaan begini, jadi doakanlah saya diberi kesihatan yang baik untuk membantu,” katanya kepada BH Online.

Aida mengakui anak-anaknya risau akan dirinya yang sering keluar rumah misi APM, namun dia sering meyakinkan mereka tentang niat murninya itu. Aida yang juga anggota APM Cawangan Kuala Lumpur berkata dia akan memasak untuk petugas barisan hadapan setiap hari Sabtu.

“Pada awalnya, anak­anak sedih dan bertanya kenapa saya perlu keluar rumah. Namun, saya beritahu mereka, kalau Allah hendak tarik nyawa, dalam tidur pun boleh.

“Sekarang rakyat memerlukan kami. Pada masa ini, kita yang menyertai badan beruniform boleh berganding bahu menghulurkan bantuan.

“Setiap Sabtu saya memasak untuk anggota barisan hadapan. Saya juga melawat pusat kuarantin seminggu sekali bagi menghulurkan bantuan atau melakukan apa yang patut,” katanya.