Pelakon Julia Farhana menitipkan surat terbuka buat bekas suaminya sekaligus mengesahkan rumah tangganya dengan Dr Che Muhammad Hafiz sudah pun berakhir pada 24 November lalu.
Menerusi perkongsian di Instagram, Julia menzahirkan uapan terima kasih buat bekas suaminya itu selepas mereka melakukan pelbagai usaha mempertahankan rumah tangga.
BACA: Julia Farhana Tinggalkan Rumah Sehelai Sepinggang, Dalam Proses Cerai
“Terima kasih seikhlas hati awak berusaha menjadi suami terbaik buat saya. Saya harap awak tahu saya juga sudah mencuba untuk menjadi isteri terbaik buat awak.
“Mungkin tidak semuanya kita lakukan dengan betul dan ada masanya kita saling melukai tanpa sengaja. Namun, di sebalik segala yang berlaku, saya harap awak tidak pernah meragui kesungguhan saya untuk mempertahankan hubungan kita.
“Namun, qada dan qadar, takdir kita. Mungkin ini jalan cerita yang ditentukan buat kita. Walaupun sukar untuk diterima, akhirnya kita sampai ke satu tahap apabila perceraian menjadi satu-satunya jalan untuk kita berdua teruskan kehidupan,” tulisnya.
Sementara itu, Julia berharap tiada lagi dendam antara mereka serta berdamai di atas apa yang berlaku, namuan dia sentiasa bersyukur di atas apa yang mereka lalui bersama.
“Saya harap awak maafkan saya sebagaimana saya sudah berdamai dengan segalanya dan memaafkan awak. Saya tak nak membawa rasa dendam dalam apa yang menanti kita selepas ini.
“Saya akan sentiasa bersyukur dengan yang kita lalui bersama, pengalaman yang membentuk diri kita dan pengajaran yang kita dapat. Tak semuanya sempurna, namun itu tidak bermakna ianya tidak bermakna,” tulisnya.