Hans Isaac Kahwin Jun Tahun Depan, Dah 7 Tahun Kenal Francisca Luhong 

Pelakon Datuk Hans Isaac memaklumkan dia bakal melangsungkan majlis perkahwinan dengan kekasihnya, bekas Miss Universe Malaysia,Francisca Luhong pada Jun tahun depan.

Memetik Astro Gempak, Hans berkata dia dan Francisca telah pun bertunang di Paris beberapa minggu lalu serta gembira kini sudah bertemu dengan cinta hatinya.

BACA: Hans Isaac Umum Bakal Berkahwin Dengan Ratu Cantik, Francisca Luhong

“Pada awalnya saya ke sana untuk urusan kerja dan Francisca pun tidak tahu hasrat saya untuk bawa dia ke sana. Saya pun hanya menyuruh dia menyediakan pasport sahaja untuk menemani saya bekerja.

“Tentang majlis pula, setakat ini perancangannya pada pertengahan tahun depan. Kami akan mengadakan dua buah majlis iaitu di Kuala Lumpur dan Kuching kerana dia mempunyai ramai keluarga di sana. Saya teruja dan gembira berkongsi akhirnya bertemu dengan cinta hati saya,” katanya.

Sementara itu, Hans berkata dia jatuh hati dengan keperibadian Francisca yang pandai bergalul dan membawa diri ketika bersama keluarga serta rakan-rakannya.

“Sebenarnya tiada orang tahu yang kami sudah lama berkawan, sudah tujuh tahun mengenali dia. Hubungan kami berlaku secara ‘natural’, dan akhirnya saya memulakan langkah untuk ke fasa seterusnya.

“Saya suka tengok dia boleh bergaul dan lepak dengan kawan-kawan saya. Kalau nak bawa ke majlis rasmi pun dia pandai bawa diri.

“Francisca pun sudah rapat dengan keluarga saya. Itu paling penting kerana saya mahu teman hidup yang boleh bergaul dan menyayangi keluarga saya,” katanya.

Sumber: Astro Gempak

×