Pelakon dan penyanyi Bella Astillah mendedahkan dia pernah berjumpa pakar psikiatri dan menjalani beberapa sesi kaunseling lapan tahun lalu.
Menerusi satu program, Bella berkata dia pernah melalui hari sukar dan tidak berkongsikan perkara itu kerana bimbang dengan persepsi segelintir individu yang suka menilai seseorang.
BACA: Netizen Ramal 8.8.26 Tarikh Nikah Syed Saddiq, Bella Astillah
“Sebenarnya tak ramai orang tahu, saya pernah melalui hari yang sangat sukar dan saya memilih untuk jumpa pakar psikiatri.
“Masa tu saya tak kongsikan pada sesiapa. Kadang-kadang orang akan cepat menghukum dan menilai. Saya tak nak bila saya kongsi, nanti spekulasi orang akan bertambah,” katanya.
Sementara itu, Bella turut menitipkan pesanan kepada mereka yang melalui masalah sama untuk dapatkan bantuan.
“Tapi apa saja kita buat, kita ikhtiar untuk diri sendiri. Tak semestinya jumpa dengan pakar psikiatri kita tak waras. Sebenarnya kita tengah sayang pada diri kita.
“Saya pergi ke beberapa sesi kaunseling berseorangan setiap sesi sejam ke sejam 30 minit. Jangan cepat menilai dan jangan dapatkan bantuan di tempat yang salah,” katanya.