Pempengaruh media sosial, Space Dollah berkongsikan pengalaman cemas apabila hampir lemas ketika bercuti di Bali, Indonesia.
Menerusi perkongsian di Instagram, Dollah menceritakan pengalaman menakutkan itu dimana dia sedang berenang bersama adiknya, Syed Saddiq dan beberapa lagi ahli keluarga yang lain.
BACA: “Boleh Tak Jangan Panggil Saya Bercapuk…” – Space Dollah
Dollah berkata pada awalnya dia yakin untuk berenang ke tengah lautan namun tidak menyangka ombak semakin kuat.
“Tiga hari lepas saya hampir mati lemas. Saya ni untuk pengetahuan semua, sangat pandai berenang. Tapi tanpa saya sedar, rupanya saya salah.
“Pada permulaan saya agak yakin untuk berenang ke tengah laut. Ombak ketika itu nampak macam okey sahaja. Saya sangat bodoh kerana berenang ke tengah laut. Tanpa saya sedar ombak sudah tarik saya betul-betul ke tengah.
“Bila semakin dekat ke tengah, semakin kuat ombak hentam saya. Ketika itu barulah saya sedar saya sudah pergi terlalu jauh. Saya cuba berenang ke pantai tapi ombak jadi semakin kuat.
“Ketika itulah saya mula jadi panik sebab saya dah tak dapat rasa tanah dekat kaki walaupun saya seorang yang sangat tinggi,” kongsinya.
Kongsi Dollah lagi, menyedari kakinya sudah semakin lemah dia menjerit meminta tolong namun tiada siapa yang mendengar jeritannya. Namun di saat dia hanya memikirkan mati, Saddiq secara tiba-tiba datang menolaknya dari belakang sehingga ke pantai
“Kemudian saya jerit minta tolong. Tiga kali saya jerit. Saya nampak adik-adik saya ketika itu tapi mereka tidak mendengar jeritan saya.
“Saya fikir saya akan mati dan mula mengucap dua kalimah syahadah. Saya dah terminum banyak air laut. Tiba-tiba Saddiq datang, entah mana dia muncul, dia cuba tolak saya daripada belakang sampailah ke pantai. Kaki saya dah lembik sangat tak boleh berenang.
“Selepas itu saya menangis kerana saya fikir itu adalah pengakhiran hidup saya. Nasib baik Saddiq pernah sertai Iron Man. Entah daripada mana dia datang selamatkan saya. Saya cakap dengan Saddiq, kalau masa tu dia tak datang, saya dah mati,” katanya.
Dalam pada itu, Dollah turut menasihatkan orang ramai berhati-hati ketika melakukan aktiviti di laut serta menyifatkan pengalaman dilaluinya itu cukup menakutkan.
“Jangan sesekali anggap laut itu selamat hanya kerana kita tahu berenang. Jika ombak kelihatan kuat, jangan biarkan anak-anak atau sesiapa berenang bersendirian.
“Bali akhirnya menjadi pengalaman paling menakutkan dalam hidup saya dan saya tidak mahu melalui situasi seperti itu lagi,” katanya.