fbpx

Amelina Dedah Ditinggal Sehelai Sepinggang Selepas Cerai

Hampir lima tahun merahsiakan status dirinya, penyanyi dangdut popular, Amelina akhirnya berkongsi kisah perceraiannya dan mengakui sudah berpisah dengan suami, Reduan Mahamood, sejak Jun 2016 selepas 17 tahun berumah tangga.

Menerusi perkongsian di Instagram, Amelina bersyukur peguamnya memudahkan urusan perceraian tanpa sebarang kekecohan. Amelina turut berterima kasih kepada Liza iaitu isteri penyanyi, Ajai, yang banyak membantu sepanjang proses itu.

BACA: Amelina Tak Malu Mengaku Pernah Jadi Gadis Kilang

“Ramai tidak tahu bila saya bercerai. Memang saya meminta pada peguam untuk tidak menghebahkan berita ini. Alhamdulillah, peguam saya sangat membantu. Pejam celik, kes cerai saya sudah selesai. Saya tidak sangka secepat itu, mungkin disebabkan doa saya sebagai insan teraniaya.

“Iyalah, perceraian bukanlah suatu perkongsian yang menggembirakan. Berita ini boleh membuatkan kita sedih, apatah lagi apabila ibu tunggal dipandang rendah,” katanya.

https://www.instagram.com/p/B-iSyuUnQ9r/?utm_source=ig_embed

Amelina berkongsikan, lima tahun yang diharungi sebagai ibu tunggal bukanlah mudah. Amelina mengamalkan budaya berjimat cermat untuk membesarkan semua anak-anaknya, apatah lagi dia bercerai tanpa mempunyai sebarang harta dan hanya sehelai sepinggang.

“Tipulah saya tak bersedih dengan keadaan saya. Jujurnya selepas bercerai, saya rasa dugaan hidup saya amat berat apabila kembali kepada ‘sifar’. Saya bercerai tanpa ada harta, sehelai sepinggang dengan anak-anak semua di bawah jagaan saya. Ketika itu, semuanya masih bersekolah.

“Apa yang paling saya risau adalah anak-anak. Bolehkah saya menyara anak-anak dalam usia saya yang lanjut ini. Dahulu, 20 tahun lalu, iyalah saya kaya-raya. Tetapi selepas 15 tahun menyepi daripada dunia seni, saya tiada satu sen pun.

“Tapi, Alhamdulillah, Allah Maha Mengetahui. Dengan doa yang tidak putus saya panjatkan kepada Allah, semuanya dipermudahkan dan rezeki kami sentiasa ada,” katanya.

Amelina berkahwin dengan Reduan pada 26 April 1999 dan bercerai pada 29 Jun 2016. Hasil perkahwinannya dengan Reduan, pasangan itu dikurniakan enam orang cahaya mata.