50,000 Terima Baucar Kita Selangor RM100 Sebulan Bermula 30 Jun

Seramai 50,000 rakyat Selangor yang layak akan mula menerima Baucar Kita Selangor 2026 bernilai RM100 bermula 30 Jun ini bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri akan meneliti senarai permohonan pada 22 dan 23 Jun sebelum proses pemilihan penerima dimuktamadkan.

“Kerajaan Negeri menyasarkan penerima dapat melaksanakan pembelian dan menggunakan baucar tersebut bermula 30 Jun ini.

“Seterusnya, pengagihan secara berperingkat pada setiap akhir bulan Julai, Ogos hingga akhir Disember ini.

” Semakan terhadap setiap permohonan turut melibatkan rujukan kepada data daripada Lembaga Zakat Selangor dan pangkalan data e-Kasih bagi memastikan kelayakan pemohon dapat dinilai dengan lebih tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Pakej Daya Tahan Selangor di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, hari ini.

Baucar Kita Selangor 2026 diumumkan Amirudin pada 16 April lalu sebagai bantuan RM100 sebulan selama enam bulan kepada 50,000 rakyat negeri itu.

Inisiatif berkenaan merupakan antara komponen di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang melibatkan peruntukan RM131 juta bagi membantu rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup serta kesan ketidaktentuan ekonomi global dan krisis geopolitik di Asia Barat.

Amirudin Shari bersama pimpinan kerajaan negeri selepas melancarkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor di Shah Alam

Sementara itu, Amirudin berkata pemilihan penerima dibuat berdasarkan data yang diperoleh daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Selangor bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Pada masa sama, kerajaan negeri turut mempertimbangkan pemohon Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) yang tidak layak atau masih dalam proses permohonan untuk dimasukkan ke dalam senarai penerima Baucar Kita Selangor.

“Proses semakan akan dibuat secara menyeluruh termasuk terhadap pemohon BINGKAS yang masih belum layak atau tidak terpilih berikutan kuota sebanyak 30,000 telah penuh.

“Daripada rekod permohonan BINGKAS, mereka yang tidak layak atau masih dalam proses permohonan akan dipertimbangkan untuk dimasukkan ke dalam senarai penerima Baucar Kita Selangor tertakluk kepada syarat kelayakan yang ditetapkan,” ujarnya.

×