fbpx

13 Tahun Dalam Industri, Dafi Akui Pencapaian Biasa-Biasa Sahaja

Pecam celik tak sangka penyanyi dan pelakon Dafi Ismail Sabri sudah hampir 13 tahun berada dalam industri hiburan tanah air.

Meluahkan ras syukur masih lagi bertahan sehingga ke hari ini, bagaimanapun Dafi berkata pencapaiannya belum lagi sampai di tahap memuaskan.

BACA: Dafi Bangga Bapa Dilantik Sebagai Timbalan Perdana Menteri

“Saya tak sangka mampu bertahan dalam kerjaya ini lebih sedekad lamanya. Meskipun pencapaian hanya biasa-biasa, namun Alhamdulillah syukur saya dapat bertahan hingga sekarang. Bukan mudah sebenarnya kerana kehadiran bakat baharu makin ramai dan bersilih ganti.

“Selain itu, usia saya juga kian meningkat dan matang. Tapi, saya sentiasa percaya pada rezeki. Dalam hidup ini, teruskan berusaha kerana setiap rezeki itu sudah ditetapkan oleh Allah dan seterusnya bersyukur,” katanya.

Ditanya mengenai populariti, Dafi berkata ia bukanlah satu keutamaan untuk dirinya kerana sudah pernah merasainya dahulu dan gembira apa yang diperolehnya kini atas usaha sendiri.

“Popular atau tidak, bagi saya itu bukan persoalannya. Sebagai selebriti, saya akui sudah berasa gembira apabila mendapat tawaran menyanyi atau berlakon.

“Saya amat meminati bidang kerjaya ini, jadi saya sebenarnya sentiasa berusaha untuk terus bertahan. Setakat ini, saya gembira dengan apa yang diperoleh atas usaha sendiri,” katanya.