fbpx

10 Tahun Sibuk Berlakon, Saharul Ridzwan Akui Jarang Pergi Masjid

Kini aktif menyebarkan dakwah dan berhijrah ke arah lebih baik, pelakon Saharul Ridzwan berkata pertemuan dengan seorang kenalan baru menjentik hatinya untuk mendekatkan diri dengan agama.

Memetik Kosmo!, Saharul berkata individu itu juga yang menjadi titik tolak untuk dirinya mendalami ilmu agama serta menyertai jemaah tabligh. Katanya, ayat oleh individu itu ternyata membuatkan hatinya tersentuh.

BACA: Tunai Umrah Dengan Isteri, Saharul Ridzwan Belajar Tinggal Anak Demi Sebar Dakwah

“Sebenarnya pembabitan dengan aktiviti tabligh ini tercetus pada Ramadan tahun lalu apabila saya diperkenalkan dengan seorang peniaga bernama Amar yang menjual topi.

“Dia asalnya jurutera tetapi tinggalkan kerjaya bagi menjalankan kegiatan dakwah sambil berniaga, manakala saya pula ketika itu sedang tercari-cari bisnes bersesuaian untuk mengukuhkan ekonomi keluarga.

“Pada awalnya, saya fikir dia ingin saya promosikan produk, namun bukan itu tujuan Amar, sebaliknya sebelum berlalu dia menyatakan kami akan berjumpa lagi, suatu hari nanti kerana Allah.

“Ayat yang diluahkan secara bersahaja itu membuatkan saya tersentuh dan menerbitkan rasa sayu. Dari situ juga saya mula berjinak-jinak mendalami ilmu agama,” katanya.

Katanya lagi, sejak pertempuan tersebut dia memperlahankan kerjaya seninya untuk memperbaiki diri dengan menyertai majlis agama dan solat berjemaah di masjid.

“Saya tak malu untuk mengakui sepanjang 10 tahun sibuk cari rezeki dalam arena ini, saya jarang pergi masjid.

“Alhamdulillah Allah masih sayangkan saya, berikan laluan supaya saya tersedar kembali kepada-Nya. Kalau bukan sekarang saya ke masjid dan belajar memperbaiki amalan, bila lagi?

“Memang banyak ilmu dan pengalaman baharu saya peroleh sepanjang mengikuti jemaah tabligh. Sekarang saya kenal pula rakan seperjuangan dalam industri nasyid,” tambahnya.