10 Tahun Menanti, Azmi Saat Bakal Timang Anak Pertama

Selepas hampir 10 tahun menanti, vokalis kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat mendedahkan bakal menimang cahaya mata sulung.

Berita gembira itu dikongsikan oleh penyanyi itu selepas kumpulannya iaitu Heart memenangi Juara Muzikal Lawak Superstar 2 (MLS2).

BACA: Azmi Caliph Buskers Akui Perlu Bantuan Kewangan

“Sebenarnya saya sudah mengetahui perkara ini sejak 2 bulan lalu tetapi masih belum memberitahu sesiapa kerana kandungan itu masih awal. Alhamdulillah, kini kandungan isteri dah memasuki usia 4 bulan,” ujarnya.

Azmi berkata sebelum ini isterinya pernah hamil namun tiada rezeki menimang cahaya mata selepas keguguran pada tahun ke-8 perkahwinan mereka.

“Sebenarnya isteri pernah hamil di tahun ke-8 perkahwinan. Tapi tak sampai 2 bulan gugur, tak ada rezeki. Saya sangat bersyukur Allah kurniakan nikmat sekali lagi untuk rasa tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Azmi turut berkongsi cerita mendebarkan apabila isterinya terpaksa dikejarkan ke hospital akibat sesak nafas sewaktu dia sedang membuat latihan persembahan MLS2.

“Saya terpaksa bergegas ke hospital atas urusan kecemasan, Isteri memang ada asma jadi dia alami sesak nafas akibat penyakit itu. Alhamdulillah selepas mendapat rawatan doktor, isteri kembali pulih,” katanya.

Azmi mendrikan rumah tangga pada tahun 2011 dengan wanita pilihan hati, Nazira Muhammad yang juga merupakan seorang OKU cacat penglihatan.

×