fbpx

Reviu: Juvana

Juvana (2013) ialah filem spin off dari drama bersiri tv dengan judul yang sama, arahan oleh Faisal Ishak dan lakonlayar oleh Alfie Palermo.

Persoalan pertama yang berlegar di fikiran saya sebelum menonton filem ini ialah mampukah kisahnya berdiri sendiri tanpa merujuk kepada 13 episod siri tv Juvana yang popular itu? Saya letakkan diri saya sebagai penonton filemnya sahaja yang hanya mengambil watak-watak dari sirinya di atas latar cerita yang seharusnya berdikari.

Pentas baru khas untuk penceritaan filem ialah Sekolah Indera Sakti, sekolah pemulihan jenayah juvana. Botak (Johan Asa’ri), Apek (Syazwan Zulkifly), Ayam (Adam Shah), Kicap (Megat Farzeril), Komeng (Khairul Mohamed) dan Panjang (Idzham Ismail ) telah dipindahkan dari sekolah lama mereka, Sekolah Wira Bakti. Lokasinya diperkenalkan di awal filem begitu jauh terpencil di pendalaman.

Di situ, mereka berdepan dengan pihak pengurusan yang nampak lebih keras dan garang diketuai oleh warden Tuan Ali (Adlin Aman Ramlie) yang lengkap dengan pasukan pengawal beruniform. Pengetua (Rahhim Omar) pula seorang yang menyamaratakan persepsi bahawa semua pelajar di situ ialah penyangak. Nampaknya masalah besar sedang menanti untuk meletup!

Sebagai budak-budak baru, pelajar Wira Bakti ‘disambut’ oleh pelajar-pelajar lama yang ‘dikepalai’ oleh Lan Todak (Sharnaaz Ahmad) serta pengikut tegarnya, Jamal (Syafie Naswip). Asas konflik pertembungan di antara kedua-dua kumpulan sudah jelas disediakan di awal penceritaan.

Sementara itu, Daim (Zahiril Adzim) iaitu bekas pelajar Wira Bakti baru memulakan hidup segar di sebuah sekolah menengah biasa sambil bekerja di kilang batu-bata. Daim berkenalan dengan Sara (Shera Aiyob) yang menjadi rebutan seorang pelajar Adam.

Seterusnya filem ini bersilih-ganti secara penceritaan selari di antara kisah konflik di Sekolah Indera Sakti dan cerita masalah peribadi Daim. Akhirnya kedua-dua plot dicantumkan di akhir filem untuk klimak resolusi yang mengujakanlah juga. Secara mudahnya filem ini telah cuba sedaya-upaya untuk mengembangkan sisa-sisa konflik dari siri tv Juvana dengan menambah lokasi dan perwatakan baru untuk diceritakan dalam sebuah filem pula.

Pemecahan kedua-dua cerita membandingkan punca dan situasi masalah pergaduhan di kalangan remaja samada di dalam sekolah pemulihan jenayah juvana atau di sekolah awam adalah hampir serupa iaitu berpunca dari perebutan ‘kuasa’ dan ‘populariti’. Filem ini ialah kisah ‘politik kasar’ di kalangan remaja ala gangsterisme merujuk The Law of the Jungle. Siapa yang kuat akan berkuasa.

#01 Reviu Filem Juvana - ROTIKAYA

Di samping itu, filem ini menyumbat kisah pertembungan kuasa dan perintah di antara Tuan Ali dan Pengetua Sekolah Indera Sakti. Juga kontradiksi di antara nasihat-nasihat oleh Cikgu sekolah (Raffi Khan) berbanding Tauke kilang batu-bata (Kenji Sawahii) kepada Daim.

Kisah cinta remaja di antara Daim dan Sara pula seakan ‘melembutkan’ penceritaan yang liar dalam filem ini. Ia seolah cuba mengambil rujukan filem terbitan Jepun, Crows Zero (2007) tetapi dalam versi yang lebih ‘jinak’ dan kurang pelakon tambahan yang ramai untuk babak ‘bergaduh’.

Umpan dan kekuatan utama Juvana ialah barisan pelakon asalnya dari siri tv bergabung dengan para pelakon yang baru diperkenalkan dalam filem ini. Walaupun pengembangan watak ganas Botak lakonan Johan sudah haus dalam drama siri dahulu, namun dalam filem ini beliau diberikan sisi perwatakan yang melodrama.

Begitu juga untuk watak Daim lakonan Zahiril yang hanya sekadar meneruskan ‘budak baik’ yang sangat baik dengan pertuturan ‘saya’ dan ‘awak’. Kelebihan kepada Syazwan sebagai Apek yang sepenuhnya dikembangkan dari seorang yang kelakar dan selamba kepada watak yang penuh emosi untuk berseteru dengan Lan Todak.

Sharnaaz yang menerajui watak antagonis Lan Todak dengan menekap ‘bahasa tubuh’ dan ‘pertuturan’ ala versi mat rempit dari filem tempatan, agak klise untuk ‘digeruni’ tetapi masih berkesan. Manakala watak Jamal lakonan Syafie iaitu dari filem Nur Kasih The Movie (juga memberikan cameo watak Juriah lakonan Sara Ali) digunakan sepenuhnya untuk menjadi pencetus keinsafan kepada Botak.

#02 Reviu Filem Juvana - ROTIKAYA

Cabaran memfilemkan kisah sebegini ialah asal-usul watak dan kisah lampaunya yang sudah sedia ada diketahui umum kepada pengikut setia drama bersiri Juvana. Tetapi ia juga mestilah mampu bergerak sendiri sebagai sebuah filem untuk penonton yang menonton filemnya sahaja.

Sedikit babak flashback siapakah watak Fit iaitu adik kepada Lan Todak sudah memadai. Namun begitu dek kerana backstory kes pembunuhan ibu Daim hanya bergantung sepenuhnya kepada cakap-cakap di sekolah Daim dan sebuah fail, permasalahan dalaman diri Daim kelihatan sedikit longgar.

#03 Reviu Filem Juvana - ROTIKAYAFaisal Ishak selaku pengarahnya sudah memberikan seadanya untuk mengekalkan konsep dan rupa filem ini seperti siri asalnya. Dengan penggunaan kamera SONY F3 (info dari twitter @faisalskis ) paparan kualiti video digital untuk filem Juvana boleh dibanggakan, cuma perlukan suntingan audio yang lebih baik.

Alfie Palermo sebagai penulis skrip tahu bagaimana untuk bermain dengan penceritaan ‘spin-off’ walaupun naratif drama bersiri Juvana dahulu sudah sempurna di episod finale.

Sehabis menonton filem ini, saya terpanggil untuk menonton semula siri tv-nya untuk mengingati semula konflik-konflik dan asal-usul Botak, Daim dan rakan-rakannya. Mungkin suatu hari nanti DVD khas koleksi drama bersiri dan filemnya akan dijual?

Kesimpulan: Juvana ialah filem mengenai dunia ‘budak-budak nakal’ yang mungkin kita tak mahu masuk campur, namun di luar juga kadangkala ada realiti yang lebih kejam dan ganas berbanding dunia Juvana. Filem ini layak saya berikan 4 ROTIKAYA.