fbpx

In-Depth Review: Life Of Pi

Life of Pi (2012) ialah sebuah filem drama pengembaraan yang diadaptasi dari novel dengan judul yang sama karya Yann Martel. Filem ini diarahkan oleh Ang Lee yang terkenal dengan arahan filem aksi Crouching Tiger, Hidden Dragon (2000).

Suraj Sharma yang kali pertama berlakon, memegang watak utama sebagai Piscine Molitor atau Pi dalam sebahagian besar durasi filem semasa zaman remaja. Manakala Irrfan Khan sebagai Pi semasa dewasa yang menceritakan semula kisah itu kepada seorang penulis novel lakonan Rafe Spall.

Kisah dasar filem ini mengenai Pi yang mencari diri & kewujudan Tuhan. Jalan ceritanya bergerak secara berperingkat mengikut kronologi kehidupan dan usia Pi melalui cerita mulut dari Pi Patel yang sudah dewasa. Kisah ‘imbas kembali’ diceritakan bermula semasa Pi kecil di kampung halamannya Pondicherry, India dimana keluarganya memiliki perniagaan sebuah zoo.

Pi sangat tertarik dengan seekor harimau Bengal yang bernama Richard Parker. Pi diberi amaran oleh bapanya bahawa harimau itu cuma seekor binatang sahaja serta merbahaya kepada manusia.

Dek kerana desakan situasi kurang aman di India, bapa Pi telah membuat keputusan untuk membawa keluarganya berpindah ke Kanada. Semua binatang dari zoo itu juga dibawa bersama dalam sebuah kapal dagang Jepun untuk dijual di sana. Malangnya semasa di Lautan Pasifik, kapal itu telah dilanda ribut taufan menyebabkan ia karam! Hanya Pi seorang sahaja yang berjaya hidup dengan menaiki sebuah bot penyelamat dimana ditumpangi juga oleh 4 ekor binatang iaitu kuda belang, heyna, orang utan dan Richard Parker. Maka bermulalah sebuah pengembaraan di lautan yang maha luas itu selama 227 hari yang akan memberi berbagai dugaan fizikal dan mental kepada Pi dan Richard Parker.

Secara peribadi, saya berpendapat bahawa filem ini mempunyai isi cerita yang sangat bagus kerana ia bukan sekadar sebuah filem yang hanya memberikan hiburan semata-mata tetapi juga memberikan makna sebenar ‘jangan putus asa’. Life of Pi mengingatkan saya seolah kombinasi cerita beberapa buah filem yang pernah saya tonton sebelum ini iaitu War Horse (2011), Cast Away (2000), Waterworld (1995) dan 127 Hours (2010).

Kisah Pi yang terperangkap sendirian berkongsi susah-senang dengan seekor harimau untuk meneruskan kehidupan berdepan dengan semua haiwan lain yang lalu-lalang dekat bot mereka, serta segala kejadian alam semulajadi yang berlaku di antara langit dan lautan. Pi hampir menyerah kepada kematian untuk dibaham oleh Richard Parker, mati kelaparan atau lemas dalam ribut taufan. Namun kerana latar diri Pi semenjak kanak-kanak yang pernah menganut dan mendalami berbagai agama, Pi bertarung untuk terus hidup dengan ‘kepercayaan’ kewujudan Tuhan dan sifat azali semulajadi manusia untuk bertahan selagi nyawa dikandung badan.

Hubungan Pi-Richard Parker tidak difantasikan seperti kisah Tarzan yang akhirnya mampu ‘berbaik’ dengan binatang. Filem ini secara jujurnya mengatakan bahawa manusia-haiwan liar ada sempadan yang memisahkan secara semulajadi. Yang dibentangkan cuma ‘zon neutral’ untuk bersama-sama terus hidup selagi terdaya. Saya terharu menonton babak dimana Pi memapah kepala Richard Parker di saat mereka hampir-hampir mati kelaparan. Itulah sahaja babak dimana mereka sama rata dan sama taraf untuk seketika.

Walaupun ini lakonan sulung di layar perak, Suraj Sharma pelakon remaja sebagai watak Pi telah memberikan lakonan yang sangat bagus berpasangan dengan harimau ‘jadian’ dari imej janaan komputer dan beberapa ekor harimau yang dilatih khas untuk pembikinan filem ini. Bahasa tubuh dan mimik muka yang beremosi dan solekan khas berjaya memperlihatkan rentetan perubahan fizikal Suraj selama terhanyut di lautan. Irrfan Khan pula sebagai Pi dewasa, walaupun sekadar muncul sebagai bingkai dan sempadan kisah, tetapi mampu menghambat perasaan penonton dengan satu babak menceritakan perpisahannya dengan Richard Parker.

Dari segi teknikal pula, saya rasakan bahawa menonton filem ini dalam 3D memberikan pengalaman penontonan yang sangat hebat. Berbanding dengan filem-filem aksi atau fantasi ber-CGI yang lain, Life of Pi memanipulasi sepenuhnya teknologi itu dengan berseni. Maksud saya, teknik imej janaan komputer untuk merealisasikan watak Richard Parker dibikin dengan sangat teliti mengikut tabiat semulajadi seekor harimau sebenar.

Teknologi penggambaran dan suntingan 3D pula digunakan sepenuhnya untuk menghidupkan landskap sekitar di Lautan Pasifik dan membantu menambah emosi dalam momen-momen kehidupan seharian Pi dan Richard Parker. Saya terpegun pada babak-babak sudut pandangan dari dalam laut ke arah bot dengan latar langit seperti sebuah lukisan yang terapung! Filem ini membuktikan bahawa teknologi canggih juga mampu menghasilkan babak drama yang damai bukan sekadar untuk menghasilkan babak letupan sahaja.

Filem ini bermula sebagai sebuah filem kekeluargaan, kemudian bertukar kepada sebuah kisah pengembaraan ala ‘road movie’ yang sangat mendebarkan dan menyayat hati. Ia berakhir dengan persoalan mengenai kepercayaan penonton kepada kisah Pi dan Richard Parker. Samada ia realiti atau halusinasi, saya pilih untuk percaya bahawa kisah mereka adalah asli dan terpuji.

Kesimpulan: Life of Pi ialah sebuah filem yang saya sangat suka kerana ceritanya berisi & penceritaan yang mudah difahami. Saya berikan 5 BIJI ROTIKAYA kerana secara peribadi, ia antara filem terbaik meletup setakat ini untuk tahun 2012. Ya! Filem ini wajib ditonton!

zp8497586rq