fbpx

Aidil Aziz, Fasha Sandha Jemput 5,000 Tetamu Ke Resepsi

Umum mengetahui, Fasha Sandha dan Aidil Aziz bakal melangsungkan pernikahan mereka tidak lama lagi. Majlis resepsi sebelah pengantin lelaki bakal diadakan di kampung halaman Aidil di Rembau, Negeri Sembilan pada 6 April depan.

Aidil memberitahu seramai 5,000 tetamu termasuk kaum keluarga, rakan-rakan serta wakil media di majlis resepsi itu nanti. Menurut Aidil, persiapan majlis sudah 50 peratus siap dan berharap agar semua urusan dipermudahkan.

BACA: Fasha Sandha, Aidil Aziz Mula Edar Kad Kahwin

“Keluarga saya memang ramai, jadi inilah masa yang sesuai untuk jemput semua. Biarpun saya tahu jumlah itu sangat besar dan bukannya mudah untuk uruskan sebuah majlis besar.

“Tetapi saya harap semuanya dipermudahkan. Sebab itulah saya sudah buat persiapan lebih awal agar semuanya berjalan lancar,” katanya kepada Kosmo!

Dalam pada itu, Fasha pula berkata setakat ini hanya perancang perkahwinan saja yang sudah ditempah tetapi masih ada beberapa perkara yang masih belum diselesaikan lagi.

“Perancang perkahwinan memang ada tetapi untuk saya buat tempahan terutama makanan mengambil sedikit masa kerana saya seorang yang sangat cerewet. Saya mahukan makanan yang dihidang nanti sempurna dan sedap untuk tetamu.

“Ironinya ramai orang tidak ambil berat tentang hal ini tetapi makananlah yang menjadi elemen utama dalam sesebuah majlis,” katanya.

Bagaimanapun, tarikh pernikahan pasangan itu masih belum diumumkan dan dijangka diadakan penghujung Mac ini di kampung halaman Fasha di Perlis.