fbpx

Filem Minggu Ini — Need For Speed: Penuh Aksi Perlumbaan Kereta Hebat!

Video games hari ni bukan sahaja sekadar permainan tetapi sudah menjadi sumber cerita untuk bidang perfileman yang semakin kerap dibikin. Asal-usul permainan video secara zahir dikatakan bermula di funfair yang kemudiannya dibawa ke dalam rumah melalui media elektronik oleh paparan di skrin televisyen atau komputer. Filem ini pula membawa permainan itu kembali ke bentuk fizikal dengan memberikan emosi dan rupa yang lebih realistik, hidup.

Need For Speed (2014) ialah sebuah filem aksi dari adaptasi kisah video games berasaskan lumba kereta NFS milik syarikat Electronic Arts (EA) yang sangat mendebarkan arahan Scott Waugh. Kalau sebelum ini, kebanyakan filem adaptasi seangkatannya bergenrekan aksi pertarungan kekuatan, fiksyen sains atau fantasi, filem ini pula mengangkat cerita yang menekap realisme kehidupan sekumpulan manusia yang berani mati berlumba haram di jalanraya awam.

NFS12

Jalan ceritanya sangat mudah diikuti kerana umpan utama yang hendak dipancing oleh produksi filemnya kepada penonton ialah aksi-aksi perlumbaan itu dan kejadian perlanggaran ngeri. Ringkasan ceritanya begini, 5 orang sahabat yang mengendalikan bengkel ubah suai kereta akan berlawan dengan seseorang yang pernah sekampung dengan mereka, untuk membuktikan siapa yang lebih handal dan siapa di pihak yang benar?

Tobey Marshall (Aaron Paul) ialah ketua dan hero filem ini. Manakala Dino Brewster (Dominic Cooper) ialah lawan kepada Tobey. Anita Coleman (Dakota Johnson) ialah bekas kekasih Tobey yang kini menjadi tunang Dino. Pete Coleman (Harrison Gilbertson) ialah adik kepada Anita yang juga ialah antara kawan baik kepada Tobey. Salasilah perwatakan yang diperkenalkan di awal-awal filem memberitahu asas konflik yang akan merebak menjadi pertembungan sengit di antara Tobey dan Dino.

Sebenar-benar ledakan plot Need For Speed mula melonjak apabila suatu tragedi ngeri berlaku semasa perlumbaan kereta di antara Tobey, Dino dan Pete. Penceritaan seterusnya sehingga penamat ialah persoalan sama ada Tobey berjaya atau tidak untuk mengalahkan Dino dalam suatu perlumbaan kereta yang sangat eksklusif bernama ‘De Leon’ anjuran Monarch (Michael Keaton) di San Francisco yang menawarkan hadiah 7 juta USD. Pergi tonton di pawagam sekarang untuk mendapatkan jawapannya.

AMARAN: Ulasan seterusnya mungkin mengandungi spoiler!

NFS8

Need For Speed menunaikan janji kepada penggemar permainan video-nya yang sudah masak dengan taktik dan simulasi semasa menjadi ‘pemandu’ permainannya. Maksud saya, filem ini ‘menumpangkan’ penonton bersama Tobey, Dino dan watak-watak lain untuk merasai pengalaman semasa perlumbaan iaitu paparan dan aksi dari dalam dan luar kereta.

Litar perlumbaannya juga meliputi lokasi yang berbeza-beza dengan cabaran dan halangan merbahaya yang perlu direntasi. Jenis dan jenama kereta yang dilumbakan pula merangkumi kategori muscle car dan supercar. Pembikinan filem ini cuba sedaya-upaya untuk merealisasikan sekuen-sekuen aksi melalui kereta-kereta yang sebenar dengan sedikit bantuan imej janaan komputer (CGI).

Tidak lupa, filem ini menyelitkan babak kejar-mengejar pihak polis dengan Tobey dan pelumba-pelumba lain, dari darat dan udara. Ditambah juga halangan-halangan dari pihak ketiga yang mahu menggagalkan misi Tobey di sepanjang perjalanannya. Asas isi kandung yang serupa sudah dibikin berkali-kali dalam permainannya. Sedikit nilai tambah filem Need For Speed ialah kisah kemanusiaan dari persahabatan yang mengundang dendam kepada Dino dan mahu membasuh nama baik Tobey. Kemenangan pertandingan kereta ialah keadilan untuk pihak yang benar, walaupun dengan cara yang salah iaitu perlumbaan haram.

NFS6

Filem ini bermula dengan beberapa aksi ngeri perlumbaan di jalanraya pekan kecil Mount Kisco. Kemudian ia dikembangkan ala road movie mengikuti Tobey dan Julia Maddon (Imogen Poots) dari State of New York ke San Francisco merentasi berbagai cabaran untuk sampai dalam pengejaran masa 45 jam. Beberapa babak ngeri berjaya dibikin di sepanjangnya, iaitu Benny @ Maverick (Scott Mescudi) yang memandu berbagai pesawat di udara serta gandingan Finn (Rami Malek) dan Joe Peck (Ramon Rodriguez) yang mengekori kereta Tobey.

Namun anda wajar iyakan sahaja babak-babak itu yang sememangnya meletup tetapi agak merepek bila difikirkan semula. Finale filem ini ialah perlumbaan sengit ‘De Leon’ untuk membuktikan siapakah yang lebih hebat di antara Tobey atau Dino?

Dari sudut lakonan, semua pelakon yang menjayakannya seumpama barisan terbaru yang bakal menghiasi sekuel-sekuel filem ini sekiranya ada, mirip kumpulan The Fast and the Furious (2001). Untuk filem ini, keberkesanan lakonan bukan elemen utamanya kerana ia lebih menumpukan kepada paparan aksi-aksi perlumbaan yang hebat.

NEED FOR SPEED

Namun begitu, penampilan Michael Keaton sebagai watak Monarch walaupun sekadar beraksi dari bilik siaran langsung di rumahnya ke video di internet, berjaya menambahkan debaran dari komen-komen santainya mengenai latar konflik Tobey-Dino serta ulasan semasa perlumbaan ‘De Leon’ tersebut. Oh ya! paparan jalanraya laluan perlumbaan dan kedudukan pelumba yang dipaparkan di skrin komputer milik Monarch juga seperti paparan di video games Need For Speed.

Filem ini seperti juga misalnya francais filem Transformers yang penting hendak disaksikan ialah bentuk fizikal robot, manakala filem ini melalui rupa bentuk kereta dan aksi-aksi perlumbaan, cerita manusia di dalamnya sekadar latar yang ringan. Dalam filem ini, sebuah kereta Ford Mustang ialah antara tarikan utamanya. Ini contoh filem yang sedia ada namanya popular dalam versi video games sebagai tarikan komersial besar-besaran untuk menjual filemnya, kemudian serentak dengan pasaran maksima permainannya yang terbaru.

KESIMPULAN

Need For Speed ialah filem yang laju. Seandainya debaran kelajuan denyutan jantung semasa memandu kereta yang meluncur sepantas kilat dan merbahaya yang anda mahu rasakan, inilah filemnya! Bolehlah saya berikan 4 BIJI ROTIKAYA.