fbpx

Filem Minggu Ini: 47 Ronin

47 Ronin (2013) ialah sebuah filem aksi fantasi yang sudah mempunyai tapak cerita sedia ada terkenal turun-temurun di Jepun. Lesen kreatif pengarahnya, Carl Erik Rinsch serta penulis skrip ialah menambahkan elemen fantasi, misteri dan aksi sebagai sebuah adaptasi ke bentuk filem dengan sokongan teknik imej janaan komputer (CGI).

Kisah latarnya mengenai sekumpulan samurai dalam buangan yang diketuai oleh Kuranosuke Oishi (Hiroyuki Sanada) untuk menebus semula maruah dan menuntut bela kematian ketua mereka iaitu Lord Asano (Min Tanaka) yang terpaksa melalui ritual bunuh diri atau ‘seppuku’.

Maka selepas itu mereka digelar sebagai ‘Ronin’ atau samurai tanpa tuan. Musuh utama dalam filem ini ialah Lord Kira (Tadanobu Asano) yang gila kuasa politik dengan bantuan seorang ahli sihir Mizuki (Rinko Kikuchi) yang gila kuasa ilmu hitam!

Filem ini mengingatkan saya kepada beberapa buah filem bertemakan ‘fish out of water’ dimana seorang ‘underdog’ terpinggir dan janggal akhirnya menjadi seorang ‘hero’ di kalangan sekumpulan pahlawan. Misalnya seperti filem Dances With Wolves (1990), Avatar (2009) malahan hampir mirip dengan filem The Last Samurai (2003).

Watak Kai (Keanu Reeves) sebagai ‘half-breed’ atau darah kacukan bangsa Jepun-Barat ditambah ke dalam kisah asas tentang 47 orang samurai yang digelar ‘Ronin’ itu sebagai orang luar dan asing untuk merumitkan lagi konflik. Mengangkat watak Kai sebagai hero dan tarikan utamanya melalui poster dan trailer, tanpa disedari telah menjadikan filem ini seakan tidak jujur dengan judulnya mengenai 47 orang samurai. Sementara itu, plot percintaan terlarang antara dua darjat Kai dan Mika (Kou Shibasaki) hanyalah sekadar mewarnai sedikit ceritanya, umpama kisah cinta epik Asia dalam Crouching Tiger, Hidden Dragon (2000).

Dunia realisme kepahlawanan samurai dalam filem ini diselang-seli dengan berbagai mitos dan fantasi. Antaranya kemunculan raksasa Kirin di awal cerita, penghuni dan misteri Hutan Tengu di pertengahan serta akhirnya pertarungan sengit Kai menentang seekor naga jelmaan ahli sihir Mizuki. Di samping itu, pemaparan lokasi-lokasi berbagai landskap alam semulajadi atau misteri menambah panorama indah atau menakutkan yang menjadi pentas penceritaannya seperti filem-filem pengembaraan epik yang tipikal.

47 Ronin seakan mahu menekap dunia berlatarkan sejarah kuno Jepun yang dicampur-aduk dengan dongeng serta dibayangi filem-filem sebelumnya. Ia cuba sedaya-upaya mahu bercerita sebesar pengembaran The Lord of The Rings (2001) atau sehebat filem fantasi Pirates of the Caribbean (2003). Mungkin tidak adil bagi saya terlalu membandingkan dengan beberapa filem di atas. Namun sebagai sebuah filem aksi fantasi sebegini sudah tentu saya yang sudah menyaksikan kehebatan filem seumpamanya sebelum ini, akan terasa bahawa 47 Ronin seperti bikinan amatur yang baru berjinak-jinak dengan CGI dan terlalu bercita-cita tinggi untuk menangani penceritaan sebesar kisah lagenda negara Jepun itu.

Bahasa pertuturan sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris untuk kesemua watak-watak bangsa Jepun menjadikan ia kadangkala kedengaran janggal seperti menonton siri tv Jepun yang dialih bahasa. Kalaulah setiap perwatakan itu menuturkan dialog dalam bahasa ibunda mereka, alangkah lebih baik kerana akan kedengaran asli bersesuaian dengan era dan budaya Jepun yang dipaparkan itu.

Kelonggaran plot ceritanya begitu ketara apabila kekosongan penceritaan selama durasi 1 tahun selepas Oishi dikurung dan Kai dijual kepada Savage (Rick Genest). Filem ini hanya melompatkan kisahnya tanpa memberi sebarang paparan konflik yang dilalui oleh Kai, Mika dan samurai yang lain tanpa pengembangan cerita yang meyakinkan. Jarak waktu setahun itu seakan ditinggalkan ‘berlubang’ untuk mempercepatkan durasi filem.

Namun begitu pujian wajar diberikan kepada pereka kostum yang masih mengekalkan penampilan pahlawan samurai atau kimono sebagai asas sahaja tetapi telah diberikan sentuhan rekaan yang lebih menarik terutamanya busana-busana yang dipakai oleh Mika. Dari sudut teknikal CGI filem ini hanyalah dalam skala yang sederhana untuk beberapa babak terutamanya babak finale pertarungan di antara Kai menentang naga Mizuki. Bolehlah boleh!

Keanu Reeves sebagai watak Kai dalam 47 Ronin bukanlah lakonan terbaiknya. Keanu seolah terperangkap dengan perwatakan pesona ‘the one’ seperti dalam The Matrix (1999) yang pernah mengangkat namanya dahulu. Tambahan pula dalam filem ini, Keanu berganding dengan seorang lagi pelakon hebat Jepun, Hiroyuki Sanada sebagai watak yang ternyata lebih menyerlah dari Keanu. Selain itu, lakonan watak penjahat ahli sihir yang licik Mizuki oleh Rinko Kikuchi ialah tarikan utama yang mampu menghiburkan dan digeruni.

Mungkin filem ini yang beberapa kali ditunda tayangannya menjadi ‘mangsa’ pula kerana filem The Wolverine (2013) yang kebetulan telah ditayangkan sebelum ini yang juga dilatarkan di negeri Jepun serta wajah Wolverine yang berjambang menjadikan seolah-olah wajah Kai versi saduran sahaja. Kebetulan juga kerana tayangan filem ini serentak bersaing dengan The Hobbit: The Desolation of Smaug (2013) yang ternyata lebih hebat paparan raksasa imej janaan komputer. Malang sekali untukmu Keanu Reeves!

KESIMPULAN

Walaupun filem ini sarat dengan imej dan budaya timur Jepun, namun ia telah di-Hollywood-kan dengan berlebihan. 47 Ronin kedengaran gah kerana populariti kisahnya di Jepun, namun adakah ia akan sehebat itu? Adakah benar ada 47 orang pahlawan samurai yang beraksi atau sekadar pelakon tambahan yang ramai berkostum sama warna sahaja? Kalau anda die hard fan Keanu Reeves, silakan menontonnya di pawagam sekarang! 2 BIJI ROTIKAYA dari saya.