fbpx

Filem ‘Juvana’ Raih RM1.7 Juta Sepanjang Tayangan Hujung Minggu

Agak lama juga kami tidak pedulikan statistik kutipan filem tempatan di pawagam — rasanya semua perasan yang tahun 2012 bukan tahun terbaik untuk industri filem Malaysia.

Tetapi berita kutipan besar filem Juvana ini menarik perhatian kami. Juvana merupakan filem Melayu kedua membuka tayangan di pawagam seluruh negara untuk tahun 2013 ini.

Filem arahan Faisal Ishak ini membuka tayangan di pawagam Malaysia & Brunei pada 24 Januari lalu dan sehingga Ahad lalu ianya telah berjaya mengutip sejumlah RM1.7 juta.

Membariskan pelakon popular seperti Johan As’ari, Zahiril Adzim, Syazwan Zulkifly, Sharnaaz Ahmad dan Syafie Naswip — filem ini merupakan satu kesinambungan daripada drama bersiri Juvana yang disiarkan di TV3.

Bercakap dalam satu kenyataan media, penerbit Juvana Khabir Bhatia berkata pihaknya melihat kemungkinan untuk menerbitkan sekuel filem Juvana tetapi semuanya bergantung kepada sambutan peminat terhadap filem pertama ini.

“Ramai yang bertanya tentang sekuel filem Juvana selepas menonton di pawagam, bagi kami segalanya bergantung kepada sambutan filem ini terlebih dahulu,” ujar Khabir Bhatia.