fbpx

Dumb and Dumber To: Imbau Nostalgia 20 Tahun Lalu

“Wait a minute. Do you mean you have been faking for 20 years?” tanya Harry Dunne kepada Lloyd Christmas. Ya! Memang melampau cara menyakat kawan baik anda sebegitu gila merepek! Tetapi gurauan itulah tanda kemesraan di antara Harry dan Lloyd yang menjadi titik mula filem ini.

DUMB AND DUMBER TO (2014) ialah filem sekuel yang menyambung kisah persahabatan Harry Dunne (Jeff Daniels) dan Lloyd Christmas (Jim Carrey) selepas 20 tahun iaitu sambungan filem Dumb And Dumber (1994). Filem ini dibuka dengan babak di sebuah hospital pesakit mental dimana Harry cuba memulihkan ingatan Lloyd yang lumpuh dan tidak boleh bercakap.

Kononnya Llyod jatuh sakit begitu kerana kecewa dek cintanya yang tak kesampaian kepada Mary Swanson @ Samsonite dari filem 1994. Namun rupa-rupanya selama 2 dekad, Lloyd hanya berpura-pura sakit kerana hendak bergurau mengenakan Harry yang akan datang setiap minggu melawat dan pasti sanggup menukarkan lampinnya! Anda mampu buat jenaka seperti itu kepada kawan anda?

AMARAN: Ulasan seterusnya mungkin mengandungi spoiler, baca dengan risiko sendiri

DD2-5

Harry pula memberitahu Llyod bahawa dia perlukan penderma buah pinggang kerana penyakit yang dihidapinya. Tambah memeranjatkan Harry ialah apabila ibu bapanya baru berterus-terang bahawa dia adalah anak angkat, sedangkan sudah jelas lagi bersuluh bahawa ibu bapanya berbangsa Cina! Di samping itu, Harry menemui sekeping poskad yang bertarikh di tahun 1991 dari seorang wanita hamil yang beriya mahu menemuinya. Maka bermulalah pengembaraan Harry dan Lloyd untuk mencari wanita itu, Fraida Felcher (Kathleen Turner) untuk mencuba nasib seandainya ‘anak kandung’ Harry dan Fraida yang kini sudah berusia 20-an akan sudi mendermakan buah pinggang kepada Harry?

Harry dan Lloyd akhirnya berjaya menemui Fraida yang memberitahu bahawa anaknya bernama Penny (Rachel Melvin) telah diserahkan kepada pasangan orang kaya, Dr. Pinchelow. Dengan bekalan sekeping gambar Penny dan sepucuk surat yang pernah dikirim oleh Fraida kepada Penny tetapi dikembalikan semula, maka Harry dan Lloyd cuba menjejaki Penny dengan memandu sebuah kereta mayat milik Fraida.

Filem arahan dan skrip sekali lagi oleh adik-beradik Bobby Farrelly dan Peter Farrelly ini mengulang struktur penceritaan yang sama. Ia dikembangkan sebagai ‘road movie’ yang dipenuhi dengan berbagai halangan dan dugaan. Seperti filem 1994, Dumb and Dumber To disumbatkan sub plot mengenai konflik kekeluargaan orang lain. Kali ini ia melibatkan konspirasi dalaman keluarga Dr. Pinchelow (Steve Tom) dimana isterinya Adele Pinchelow (Laurie Holden) sedang bersekongkol dengan kekasihnya si tukang kebun Travis (Rob Riggle) untuk membolot harta Dr. Pinchelow. Apakah kesudahannya? Anda tontonlah sendiri.

Dumb And Dumber To

Seringkali saya ketawa terbahak-bahak di sepanjang penontonan filem ini. Nampaknya selepas 20 tahun, watak dan perwatakan Harry dan Lloyd masih serupa. Filem ini tidak menambah kematangan mereka berdua, tetapi mengekalkan sifat keanak-anakan Harry dan Lloyd yang sentiasa kelakar dan naif. Mereka hanya mengulang apa sahaja perlakuan yang mereka rasakan betul dan tindakan yang paling bijak pada pandangan mereka untuk setiap situasi, seperti dalam filem terdahulu. Ringkasnya, Harry dan Lloyd tidak tahu pun bahawa mereka berdua adalah kurang pandai, asalkan mereka gembira.

Kedua-dua pelakon hebat Jeff Daniels dan Jim Carrey walaupun agak ketara kelihatan tua, namun masih kelihatan cergas dan menjiwai sepenuhnya kedua-dua watak Harry dan Lloyd. Mungkin perwatakan komedi sebegitu kelihatan mudah hanya perlu membuat lakonan dan aksi yang merepek tetapi kerana keserasian kedua-dua aktor maka setiap jenakanya menjadi. Penampilan tambahan Kathleen Turner sebagai watak Fraida bekas pelacur yang kini mengendalikan perniagaan urusan pengkebumian juga amat menarik hati. Kathleen yang berwatak serius menambah rencah babak-babak yang memerlukan kesabaran semasa berdepan dengan Harry dan Lloyd yang sentiasa di luar jangkaan perwatakan komedi mereka.

DD2-9

Seperti filem terdahulu, kali ini watak penjahat yang menumpang kereta bersama Harry dan Lloyd ialah watak Travis yang akan cuba membuli kedua-duanya tetapi berakhir sebaliknya akan terkena semula oleh Harry dan Lloyd. Dumb and Dumber To juga menampilkan semula watak cameo budak lelaki buta berkerusi roda di Apartment 4C yang sering disakat oleh Harry dan Lloyd iaitu Billy (Brady Bluhm) yang kini sudah remaja. Di samping itu, sebuah van berbulu yang sinonim dalam filem 1994 iaitu ‘the Mutt Cutts’ dipandu semula oleh Harry dan Lloyd walaupun dalam babak yang pendek.

Dumb and Dumber To tidaklah mempunyai isi cerita yang lebih matang berbanding yang pertama dahulu kerana ia hanyalah dibikin untuk peminat tegar Harry dan Lloyd yang mahu melihat mereka beraksi semula di layar lebar. Walaupun sudah pernah dibikin versi animasi siri tv Dumb and Dumber: The Animated Series (1995-1996) serta pernah juga dibikin versi filem prekuel dengan para pelakon muda yang lain iaitu Dumb and Dumberer: When Harry Met Lloyd (2003), namun filem kali ini lebih menghiburkan kerana mengekalkan pelakon asal Jim dan Jeff.

KESIMPULAN

DD2-2

Kadangkala Hollywood seakan kelihatan ketandusan idea untuk membikin filem baru kerana menyambung semula siri tv atau filem 80-an dan 90-an dalam bentuk ‘reboot’ atau sekuel filem. Ada yang berjaya dan ada pula yang gagal menyaingi yang asal. Tetapi untuk filem Dumb and Dumber To ini pula saya merasakan bahawa ia benar-benar berjaya mengimbas nostalgia kepada penonton yang sudah 20 tahun membesar bersamanya serta mampu menarik penonton generasi baru untuk membeli dvd filemnya yang lalu.

Dumb and Dumber To (2014) ini memang kelakar gila! Saya berikan 4 BIJI ROTIKAYA.