fbpx

Almy Nadia Mengidam Buah Kundang, Ditegur Pontianak

“Saya teringin sangat nak makan buah kundang. Sebelum ini nak makan telur penyu sudah dapat tapi untuk dapatkan buah kundang, sehingga sekarang masih tidak jumpa,” kata Almy Nadia yang kini sarat mengandung lapan bulan.

Selain menumpukan perhatian kepada kandungan, Almy Nadia dalam masa yang sama juga kini menguruskan jadual suaminya sepenuh masa.

BACA: Kandungan Semakin Besar, Almy Nadia Alahan Nasi dan Makanan Melayu

“Buat masa sekarang saya berhenti sekejap daripada berlakon. Selepas lahirkan anak, saya akan mula kembali berlakon seperti biasa,” katanya lagi sambil menyatakan mahu kembali amalkan diet dan menjaga badan selepas bersalin kelak.

Sepanjang proses kehamilannya itu, Almy juga telah membongkarkan satu peristiwa yang agak ganjil dan menakutkan diri serta suaminya sendiri apabila suatu malam ketika berada keseorangan di rumah dia telah ditegur oleh suatu makhluk halus yang boleh dikatakan sebagai pontianak semasa berada di biliknya.

Walaubagaimanapun, Almy ketika itu tidak sedar akan kehadiran makhluk terbabit sehinggalah dia mengalami bengkak-bengkak di bahagian tangannya.

“Saya berseorangan di rumah ketika itu, maklumlah rumah kami di tepi highway. Ketika kejadian itu berlaku, saya rasa macam ada orang ketuk tingkap sahaja”

“Kemudian saya mengalami bintik-bintik merah di bahagian tangan dan bila pergi ke klinik serta hospital mereka kata saya alahan. Apabila pak cik saya datang ke rumah, dia beritahu yang saya ‘ditegur’ oleh makhluk tersebut dan barulah kami menyedarinya,” tambahnya. (rtky/hfz)