fbpx

Zulin Aziz Selamat Bertunang, Nikah 20 Februari 2022

Tahniah diucapkan kepada pelakon Zulin Aziz yang selamat mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihan hati yang juga rakan kongsi bisnes, Farhan Rozaini malam tadi.

Majlis diadakan secara tertutup yang hanya dihadiri keluarga Zulin dan Farhan di kediaman abang Zulin di Segambut Dalam kira-kira jam 9 malam tadi.

BACA: Zulin Aziz Puji Kekasih Tak Pernah Berkira

Zulin berkata jejaka berusia 35 tahun itu melamarnya di Madinah ketika mengerjakan Umrah baru-baru ini serta meluahkan rasa syukur Allah memperkenankan doanya.

“Alhamdulillah, Farhan melamar saya ketika di Madinah. Sebenarnya, sudah lama kami merancang, akhirnya, Allah memperkenankan doa saya ketika berada di Tanah Suci.

“Majlis pada malam ini diadakan serba ringkas. Malah, atas permintaan famili, kami hanya menjemput ahli keluarga terdekat demi menjaga prosedur operasi standard ( SOP),” katanya.

Dalam pada itu, Zulin berkongsikan tunangnya itu seorang yang bertanggungjawab serta percaya Farhan mampu membimbingnya ke jalan yang diredhai.

“Dia bertanggungjawab dan pandai mengambil hati keluarga. Dia juga seorang pendengar yang setia. Saya selesa bersamanya dan boleh meluahkan apa sahaja,” katanya.

Pada majlis malam tadi, Zulin menerima dua bentuk cincin iaitu cincin merisik serta bertunang dan pasangan itu merancang untuk melangsungkan pernikahan pada 20 Februari depan.