fbpx

Zamani Sedih Badan Semakin Bengkok, Bakal Jalani Pembedahan

Penyanyi terkenal, Zamani mengakui sedih melihat bentuk fizikalnya yang semakin membengkok akibat penyakit scoliosis atau tulang belakang bengkok yang dihidapinya.

Memetik Astro Gempak, Zamani berkata dia menyedari tubuhnya semakin membengkok selepas melihat video-video tular daripada peminat di laman sosial.

BACA: Fizikal Makin Membongkok, Zamani Siap Minta Maaf Tak Dapat Hiburkan Macam Dulu

“Saya tak marah bila orang berkongsi video tersebut cuma agak terasa bila orang tunjuk keadaan kita. Tapi bila saya tengok balik video itu barulah saya nampak keadaan sebenar saya dan nampak teruk daripada sisi tepi.

“Sebelum ini tengok cermin, nampak bahagian depan sahaja tetapi bila tengok keadaan sebenar dari sisi, saya sedih sebenarnya,” katanya.

Berkongsi tentang penyakitnya, Zamani berkata ia akan menjadi semakin teruk jika tidak dirawat. Ujarnya, dia perlu melakukan pembedahan memasukkan besi.

“Sebenarnya keadaan kesihatan saya semakin teruk sebab saya dah tak boleh nak berdiri tegak. Sekarang saya kena buat pembedahan masukkan besi untuk menyokong tulang belakang.

“Saya agak risau sebab perut sebelah kanan ini makin lama semakin tiada daging. Dia dah ‘kosong’ dan saya takut. Sekarang memang sangat sakit sebab dia dah mencucuk bahagian rusuk.

“Saya nak jalan pun susah apatah lagi bekerja. Buat masa sekarang saya makan ubat tahan sakit sebab belum ada ubat yang dikhaskan untuk scoliosis,” katanya.

Dalam pada itu, Zamani turut meluahkan rasa bimbang dan takut untuk melakukan pembedahan berkeanan kerana peluang untuk sembuh rendah.

“Peluang untuk sembuh itu sangat kecil sebab takut hasilnya makin teruk. Saya kena duduk atas kerusi roda. Tapi saya tiada pilihan lain dah, saya ingat bila guna cara perubatan tradisional boleh sembuh tapi sekarang tiada perubahan dan semakin teruk,” katanya.