fbpx

Sambutan ulang tahun perkahwinan pasangan selebriti popular, Rozita Che Wan terganggu apabila suami, Zain Saidin serta anaknya disahkan positif COVID-19, bulan lalu.

Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta berkata disebabkan situasi tidak dijangka itu dia terpaksa menunda perancangan bercuti ke sebuah pulau persendirian di Langkawi.

BACA: Che Ta Berbalut Muka Badan, Dress Dianggarkan Bernilai RM50,000

“Saya dan Zain merancang bercuti ke pulau berkenaan selama seminggu. Sepatutnya, kami pulang sehari sebelum ulang perkahwinan kelapan pada 11 Disember lalu.

“Apa nak buat, kami tidak mampu menghalang semua ini. Zain sepatutnya menjalani penggambaran sebuah drama, bulan lalu juga terpaksa menolak tawaran,” katanya.

Dalam pada itu, Che Ta berkata suami dan Aaisyah kini sudah pulih sepenuhnya selepas hanya mengalami gejala demam sahaja.

Sementara itu, baru-baru ini pasangan itu meraikan ulang tahun perkahwinan di lokasi eksklusif di ibu kota dan tetap bersanding semula seperti yang sering dilakukan sejak dua tahun lalu.

“Pejam celik, sudah lapan tahun kami mendirikan rumah tangga. Tempoh itu bukan sesuatu yang mudah dilalui. Biasalah, ada gaduh manja dan rajuk, tetapi tidak lama.

“Pandemik ini juga menguji, tetapi saya dan suami mengharunginya sebaik mungkin. Ada juga saya terguris hati dan sentap dengan suami, namun, dia datang buat kejutan membawa jambangan bunga ketika saya menjalani penggambaran di Kedah. Pada fasa sekarang memang kena kuat bertahan dan banyak bertolak ansur,” katanya.

Che Ta dan Zain mendirikan rumah tangga pada 11 Disember 2013 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Aaisyah kini berusia tujuh tahun.