fbpx

Zafrul Sahkan Najib Mohon Tanah, Rumah Bernilai RM100 juta

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan kabinet menerima permohonan daripada bekas Perdana Menteri, Najib Razak untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di ibu negara.

Bercakap semasa sesi penggulungan di Dewan Rakyat, Tengku Zafrul berkata, maklumat berkaitan rumah dan hartanah tersebut tidak dimasukkan ke dalam Bajet 2022 kerana permohonannya dibuat selepas pembentangan.

“Permohonan telah dibuat, perbincangan pun diadakan, sekarang kita menunggu keputusan jemaah menteri untuk dimuktamadkan,” katanya seperti dipetik Astro Awani.

Terdahulu, Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi) meminta Tengku Zafrul menjelaskan mengapa Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 tidak menyentuh mengenai hartanah RM100 juta yang akan diberikan kepada Najib.

Pada awalnya Zafrul mencadangkan supaya soalan itu dipanjangkan kepada Jabatan Perdana Menteri kerana perkara itu di bawah bidang kuasa jabatan tersebut.

Bagaimanapun, selepas beberapa kali diminta menjawab persoalan tersebut oleh ahli parlimen blok pembangkang, dia mengesahkan permohonan telah diterima.

“Saya kata permohonan ini, seperti saya sebut tadi, ia tiada dalam Bajet kerana ia dibentangkan sebelum permohonan tersebut.

“Untuk laksanakan ini, ia akan dibawa sebagai Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan di Parlimen nanti,” ujarnya.

Jawapan itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli parlimen pembangkang termasuk Mahfuz Omar (PH – Pokok Sena) dan RSN Rayer (PH – Jelutong).

Sesi penggulungan tersebut juga berterusan panas apabila ahli parlimen membangkitkan perkara sama sehingga membuatkan Speaker, Azhar Harun beberapa kali mengarahkan mereka untuk duduk.

Kredit: malaysiakini