Penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam berkata dia reda sekiranya legasi penerbitan drama yang disuhakannya lebih empat dekad tidak diteruskan anak-anak.
Memetik BH Online, Yusof berkata dia belum melihat kecenderungan anak-anak untuk meneruskan perjuangan menerbitkan drama kerana Syafiq Yusof dan Syamsul Yusof lebih berminat mengarahkan filem.
BACA: “Tiada Dendam, Setiap Orang Ada Khilaf” – Yusof Haslam Maafkan Tisha Shamsir
“Saya pasrah jika tiada yang mahu meneruskan legasi ini. Isteri pun ada berkata perkara sama. Isteri kata dia nampak jerih perih saya bekerja siang malam dan menjaga syarikat, tetapi dia tidak nampak anak-anak akan meneruskannya,” katanya.
Sementara itu, Yusof berkata melalui penerbitan drama dia dapat mengumpul wang sehingga membolehkannya menghasilkan filem dan dapat memberikan kehidupan selesa pada keluarga serta menanggung para pekerja.
“Saya sudah berusaha sedaya upaya. Disebabkan drama, timbul peluang menerbitkan filem sehingga saya mampu memberikan keluarga kehidupan selesa dan menanggung puluhan pekerja. Jadi, sekiranya tiada yang mahu meneruskan legasi menerbitkan drama, tidak mengapa. Saya pasrah,” katanya.
Sumber: BH Online