fbpx

Yonnyboii, Isteri Tak Tolak Timang Cahaya Mata Di Usia Muda

Hampir sebulan mendirikan rumah tangga, sudah pasti penyanyi Yonnyboii tidak terlepas dengan soalan zuriat. Yonny berkata dia dan isteri, Nik Nazira tidak menolak jika dikurniakan cahaya mata di usia muda.

Menyerahkan perkara itu kepada ketentuan Allah, bagaimanapun, Yonny berkata dia dan isteri merancang untuk menimang anak dalam tempoh dua tiga tahun lagi.

BACA: Yonnyboii Pelik Tak Diserang Panik Masa Akad Nikah

“Keluarga saya sudah mengingkatkan kalau ada yang bertanya mengenai perkara ini, jangan sesekali cakap tidak mahu lagi, sebab kita tidak tahu rezeki yang sudah tertulis. Takut nanti jadi satu doa.

“Saya pun masih lagi belajar dan sesuaikan diri menjadi suami. Saya juga tidak tahu bila waktu sudah bersedia bergelar bapa sebab saya percaya bila ada zuriat nanti baharulah saya tahu keadaan sebenar.

“Cuma kami merancang untuk timang zuriat dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi. Namun kalau rezeki datang awal, kami bersyukur. Tapi, buat masa ini saya memang nak fokus kepada kerjaya dulu,” katanya.

Dalam pada itu, Nazira mengakui sudah bersedia untuk bergelar ibu jika diberi rezeki untuk menimang cahaya mata awal. Mengakui bukan mudah untuk bergelar ibu bapa namun Nazira berkata dia dan Yonny perlu belajar.

“Insya-Allah, saya menerima baik setiap yang berlaku. Saya tak berani nak cakap memang dah bersedia memegang gelaran itu sebab zuriat adalah satu tanggungjawab yang besar.

“Bukan mudah nak membesarkan anak tapi kalau sudah tertulis, saya dan Yonny perlu sama-sama belajar,” katanya.

Yonny dan Nazira selamat mendirikan rumah tangga pada 20 November lalu di Duchess Place, Ampang sehari selepas penyanyi Haqiem Rusli bernikah.