Dalam dunia hari ini, inovasi bukan lagi sesuatu yang hanya dimiliki oleh syarikat besar atau orang teknikal. Inovasi juga boleh berlaku di kampung-kampung kecil, dalam bentuk cara baru buat kerja, alat bantu kehidupan seharian, atau kaedah memajukan ekonomi komuniti.

Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) sedar akan perkara ini, dan sebab itu YIM terus komited memperluas usaha membangunkan inovasi sosial di peringkat akar umbi terutama untuk bantu komuniti tempatan tingkatkan pendapatan dan keluar daripada belenggu kekangan lama.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Dr Sharmila Mohamed Salleh, pendekatan mereka bukan hanya fokus kepada teknologi semata-mata, tetapi lebih menyeluruh dalam menggabungkan latihan, pemadanan teknologi, pembekalan peralatan bersesuaian serta pemikiran jangka panjang untuk menjadikan inovasi itu kekal memberi manfaat.

“Seperti yang kita tahu, ramai pengusaha kecil bergantung kepada cuaca, tak cukup fasiliti, dan masih guna cara kerja tradisional yang lambat dan terhad. Jadi, pendekatan YIM dalam program MylS Komuniti adalah menjejak inovasi yang boleh bantu mereka dengan teknologi yang sesuai dan beri impak sebenar kepada ekonomi dan kesejahteraan komuniti mereka,” 

katanya ketika ditemui selepas Program Jejak Inovasi Sosial Zon Selatan di sekitar DUN Pantai Kundor, Melaka.

Program ini adalah sebahagian daripada inisiatif utama YIM seperti MylS Komuniti, MaGRIs/MylS Akar Umbi, dan Youth Innovative Challenge (YIC). Ia dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, YB Tuminah Kardi.

Dalam program kali ini, Dr Sharmila bersama pasukannya melawat beberapa lokasi yang menampilkan projek inovasi tempatan. Walaupun projek-projek ini nampak kecil, impaknya cukup besar bila diberi bimbingan dan perhatian.

1. Inang-Inang Kak Ana 

Di Kampung Paya Luboh, salah satu produk warisan kampung yang masih kukuh ialah inang-inang, makanan ringan yang diperbuat daripada nasi pulut yang dikeringkan dan digoreng hingga garing.

Produk ini dihasilkan secara tradisional oleh Kak Ana sendiri. Walaupun kaedahnya lama, namun hasilnya berkualiti tinggi dan mempunyai potensi pasaran luas, jika dibungkus dan dipromosikan dengan betul.

“Kita boleh bantu Kak Ana dari sudut pembungkusan lebih moden dan tahan lama, beri identiti pada produk dengan pelabelan yang cantik dan standard. Ini akan bantu beliau dalam membesarkan produk dengan lebih luas, tak hanya di kampung,” kata Dr Sharmila.

Inilah contoh bagaimana inovasi tak semestinya ciptaan baru tapi boleh jadi penambahbaikan terhadap produk sedia ada.

2. Jai Fiberglass 

Seterusnya, di Kampung Gelam, terdapat satu usaha luar biasa oleh En. Faizal Amirul Salehodin, seorang pembuat bot gentian kaca yang dikenali dengan jenama Jai Fiberglass. Beliau menghasilkan dan membaiki pelbagai jenis bot, dari bot memancing kecil hingga bot risikan untuk agensi kerajaan.

Bot gentian kaca menjadi pilihan utama ramai nelayan kerana sifatnya yang ringan, tahan lama, mudah dijaga dan tak perlu kos tinggi seperti bot kayu.

“Menurut Dr. Sharmila, inovasi sosial boleh membantu Jai Fiberglass ialah dengan membina bangunan baru yang lebih selesa dan moden, bukan hanya sebagai bengkel bot gentian kaca tetapi juga sebagai pusat tarikan pelancong lengkap dengan galeri dan ruang interaktif.  Selain itu, penggunaan teknologi digital seperti reka bentuk 3D dan tempahan online boleh membantu meluaskan pasaran hingga ke peringkat antarabangsa.”

Dengan kapasiti menghasilkan 30 bot kecil dan 4–6 bot besar setiap bulan, Jai Fiberglass bukan saja membuka peluang pekerjaan untuk penduduk setempat, tetapi juga membuktikan bahawa produk kampung boleh jadi setaraf dengan yang ada di pasaran antarabangsa dengan sedikit sokongan dan inovasi.

3. Ikan Kering Kampung Balik Bukit 

Di Kampung Balik Bukit, penduduknya pula terlibat dalam pembuatan ikan kering, iaitu ikan yang dikeringkan selepas dibersihkan dan digaram. Kaedah pengeringan ini menjadikan ikan tahan lebih lama tanpa perlu disejukkan.

Ikan kering tetap mendapat tempat di hati pengguna Malaysia kerana mudah dimasak dan tahan lama. Pelbagai jenis ikan boleh digunakan, dan teknik pengeringan juga boleh dipelbagaikan contohnya stockfish (kering tanpa garam) dan clipfish (ikan asin yang dikeringkan).

Jika inovasi seperti pembungkusan moden, jenama, dan teknik pengeringan lebih efisien dapat diterapkan, industri ikan kering ini boleh menjadi salah satu sumber ekonomi yang sangat stabil untuk kampung tersebut.

4. Ternakan Ketam Nipah & Kupang

Akhir sekali, lawatan turut singgah ke jeti nelayan Sungai Lereh, lokasi cadangan projek ternakan ketam nipah dan kupang. Projek ini bukan saja berpotensi menjana pendapatan, malah sangat penting sebagai pelan sokongan bagi para nelayan ketika musim tengkujuh.

Antara inovasi yang dicadangkan oleh Dr. Sharmila termasuk Membina tukun tiruan untuk pembenihan ikan, ketam dan hidupan laut lain. Menyediakan, kawasan ternakan yang lebih sistematik dan mewujudkan saluran pasaran untuk hasil ternakan ini.

Semasa musim tengkujuh atau ribut, nelayan tak dapat turun ke laut dan ini menjejaskan pendapatan mereka tapi dengan adanya ternakan seperti ini, mereka masih boleh teruskan aktiviti ekonomi di darat.

Inisiatif ini dilihat bukan saja sebagai solusi jangka pendek, tetapi juga membuka peluang jangka panjang untuk nelayan menambah pendapatan secara berterusan walau dalam keadaan cuaca buruk.

Kesemua produk ini membuktikan bahawa inovasi sosial bukan sekadar canggih atau moden tetapi tentang keupayaan sesuatu idea atau pendekatan memberi perubahan nyata dalam kehidupan orang biasa.

Program-program seperti ini memberi sinar harapan kepada komuniti luar bandar yang selama ini kurang diberi tumpuan. Dengan bimbingan, latihan, teknologi yang sesuai, serta semangat ingin maju mereka sebenarnya mempunyai potensi besar untuk berjaya.

Dengan pendekatan YIM yang terus turun padang dan mendekati komuniti, lebih ramai akan dibantu, lebih banyak peluang dibuka, dan lebih ramai rakyat Malaysia akan tersenyum dengan hasil titik peluh sendiri yang kini lebih berimpak, mampan dan berdaya saing.

×