Penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman tampil memohon maaf kepada Jabatan Penjara Malaysia susulan kenyataannya dalam satu podcast.
Menerusi video dimuat naik di Instagram, Yasin berkata perkongsiannya itu adalah berdasarkan apa yang dialaminya ketika berada di dalam penjara.
BACA: Dia Seorang Yang Budiman..” – Yasin Sulaiman Kongsi Pengalaman Bersama Najib Di Penjara
“Saya Yasin Sulaiman, mengambil maklum penjelasan yang dibuat oleh Jabatan Penjara Malaysia berhubung beberapa perkara yang pernah saya kongsikan dalam podcast dan temubual baru-baru ini mengenai pengalaman saya ketika berada di dalam penjara.
“Saya ingin menjelaskan bahawa perkongsian tersebut dibuat berdasarkan apa yang saya alami dan fahami ketika melalui tempoh berkenaan.
“Pada waktu tersebut, sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Bahagia, saya sedang mengalami episod bipolar mania. Keadaan saya ketika itu mungkin telah mempengaruhi cara saya melihat, mendengar, memahami dan mentafsir perkara berlaku di sekeliling saya,” tulisnya.
Sementara itu, Yasin berkata dia tidak pernah berniat mencemarkan nama baik jabatan berkenaan mahupun memperkecilkan tugas anggota.
“Saya kesal sekiranya perkongsian tersebut telah menimbulkan kekeliruan atau salah faham dalam kalangan masyarakat. Sehubungan itu, saya ingin memohon maaf kepada Jabatan Penjara Malaysia serta para pegawai dan anggotanya atas kekeliruan yang timbul.
“Saya ingin menjelaskan bahawa perkongsian tersebut tidak pernah dibuat dengan niat untuk mencemarkan nama baik jabatan atau memperkecilkan tugas pegawai dan anggota berkaitan,” tulisnya.