Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam hari ini mengesahkan lafaz cerai talak satu yang dibuat pelakon, Hafidz Roshdi terhadap isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri pada 22 Februari lalu adalah sah.
Memetik Harian Metro, Shuhada turut berkongsikan kata-kata semangat buat wanita yang diuji dengan situasi sama sepertinya supaya bersabar kerana Allah akan gantikan dengan sesuatu lebih indah.
BACA: Hafidz Roshdi, Shuhada Sah Bercerai Talak Satu
“Saya nak beri semangat kepada wanita di luar sana. Kepada mereka yang melalui ujian Allah, sabar. Saya tahu, ia sangat perit dan pedih. Tapi, tak apa sebab Allah Maha Baik.
“Allah takkan beri beban yang lebih daripada kemampuan kita. Kita kejar cinta Allah dan Allah akan ganti dengan sesuatu yang lebih indah,” katanya.
Dalam pada itu, Shuhada turut menitipkan pesanan buat mereka yang memilih untuk bahagia atas penderitaan orang lain supaya beringat akan kuasa Allah.
“Ini adalah ujian Allah untuk jadikan saya lebih kuat dan contoh kepada anak-anak. Semua wanita kena kuat untuk anak-anak dan diri sendiri juga.
“Kepada yang bercita-cita nak bahagia atas penderitaan orang lain, takutlah kepada Allah. Semuanya hak Allah. Doakan yang terbaik untuk saya dan anak-anak,” katanya.