fbpx

Yana Samsudin Tak Gentar Disaman, Dakwa Aliff Yang Hempas Pasu RM 400,000

Pelakon Yana Samsudin menjelaskan kontroversi dengan usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri bukan gimik lakonan sebaliknya benar-benar berlaku.

Memetik BH Online, Yana berkata insiden itu berlaku ketika mengacarakan program raya terbitan Astro, dua minggu lalu. Yana berkata dia sangkakan produser program tersebut iaitu Alif Farhan sudah menyelesaikan isu itu dengan Aliff.

BACA: Sakit Kepala & Muntah-Muntah, Suami Syak Yana Samsudin Hamil Anak Ketiga

“Saya dan suami, Fadzil Zahari tak sangka video ini tular selepas dua minggu insiden berlalu. Kami terkejut kerana percaya produser, Alif Farhan sudah menyelesaikan isu ini dengan Aliff memandangkan kejadian berlaku ketika rakaman.

“Produser beritahu akan bertanggungjawab dan menyelesaikannya. Namun, sebaliknya video pergaduhan tular dan Aliff menuntut saya membayar ganti rugi bernilai RM400,000, jika tidak berdepan tindakan saman. Jujurnya, saya tidak gentar dengan gertakan Aliff. Kerana prinsip saya, berani kerana benar,” katanya.

Berkongsi cerita mengenai kejadian itu, Yana berkata dia menjalankan tugas sebagai pengacara menemubual Aliff dan ketika itu usahawan itu menunjukkan set pinggan mangkuk jenama dan pasu mahal miliknya.

“Pasu terletak dalam almari dan memiliki sijil, jadi saya memang tahu pasu ini barangan berharga dan takkan berani menyentuhnya.

“Aliff memegang pasu dan tunjuk kepada saya. Dia suruh saya pegang pasu, tetapi saya tak nak sentuh. Masa nak berikan pasu, saya tak sambut. Ketika itulah pasu terlepas daripada genggamannya dan terjatuh.

“Saya pelik kenapa barangan berharga nak suruh saya sentuh. Saya takut. Jadi, tuduhan saya pecahkan pasu seperti tidak masuk akal, sedangkan saya tak sentuh pun,” katanya.

Menurut Yana lagi, Aliff mula mengamuk macam orang hilang akal apabila pasu pecah serta mengeluarkan kata-kata hinaan sehingga suaminya, Fadzil Zahari hilang sabar.

“Aliff marah sebab saya tak sambut pasu. Dia yang hempas pasu, saya pula dipersalahkan. Dia mula membebel dan mengeluarkan perkataan menghina. Itu yang membuatkan Fadzil hilang sabar dan mula bergaduh dengannya.

“Memang kejadian Fadzil bergaduh dengannya benar-benar berlaku, bukan lakonan. Ramai mempertikaikan wajah saya tidak seperti orang dalam ketakutan. Kenapa nak takut, sedangkan saya tak pecahkan pasu,”katanya.

Dalam pada itu, Yana berkata dia tidak gentar kerana jika berdepan tindakan saman usahawan itu kerana banyak bukti ketika rakaman.

“Jika Aliff nak saman, saya tak kisah. Saya takkan bayar ganti rugi RM400,000 sebab terang-terangan bukan saya yang menghempaskan pasu.

“Dalam rakaman kita boleh nampak Aliff seperti sengaja melepaskan pasu, jadi kenapa saya harus dipersalahkan?” katanya.