Pelakon Emma Maembong berkata meskipun jodohnya dengan bekas suami, Muhammad Shazli tidak berpanjangan namun mereka masih menjaga hubungan baik.
Memetik Utusan, Emma turut menitipkan nasihat kepada orang ramai agar tidak membuka aib pasangan kepada umum kerana kita tidak tahu apa akan jadi di masa hadapan.
BACA: 8 Tahun Berkawan, Iqbal Kagum Emma Maembong Tak Pernah Berubah
Menurut Emma lagi, tiada guna untuk berdendam seandainya sudah berpisah kerana siapa tahu seandainya bertemu jodoh semula.
“Hubungan kami memang baik sebab tiada dendam. Saya dan bekas suami tahu, perkahwinan kami gagal, kami yang ada masalah tapi benda itu dapat diselesaikan.
“Kalau nanti di masa depan kita dijodohkan semula, kita pun tak tahu, jadi buat apa kita nak berdendam. Saya tak kisah soal jodoh ini sebab ada di mana-mana.
“Contohnya bukan kita tak pernah tengok, ada sahaja pasangan berperang ‘kau salah’, semangkuk aib sudah dibuka tapi dua tahun kemudian jodoh bertemu kembali,” katanya.
Dalam pada itu, Emma berkata tidak perlu menuding jari antara satu sama lain serta mendedahkan siapa salah di media sosial jika sudah berpisah kerana lebih baik simpan saja antara pasangan.
“Sebab itu hal rumah tangga kalau boleh kita simpan sahajalah. Siapa salah tak perlu cerita dekat semua orang. Itu masalah kita dan pasangan.
“Waktu berpisah orang cakap macam-macam, sayalah punca. Tapi saya dan bekas suami diam sahaja. Biar orang cakap apapun, kita tak perlu nak betulkan. Diam. Sebab ini yang terbaik untuk anak-anak,” katanya.
Terdahulu, Emma mendedahkan sudah bercerai dan tamat tempoh idah pada 7 Oktober lalu namun pelakon itu tidak mendedahkan punca perceraian.
SUMBER: Utusan Online