Takziah kami ucapkan kepada keluarga pelawak ‘stand up’ komedi popular, Datuk Jamali Shadat, 78 tahun yang menghembuskan nafas terakhir pada jam 8.30 pagi tadi. Memetik laporan Harian Metro, berita duka itu dimaklumkan oleh cucunya Isyraq Ariff Zalull Ariff.
“Doktor sudah mengesahkan datuk sudah tiada. Urusan proses pengebumian akan dimaklumkan kemudian,” katanya.
Sebelum ini, keadaan Jamali uzur tidak mampu berjalan dan kurang selera makan apabila terkesan dengan pemergian isterinya Lela Yacob akibat serangan angin ahmar pada Jun 2018.
Pemergian arwah isterinya membuatkan Jamali kemurungan kerana sebelum ini segala jadual aktiviti seni dan kehidupannya sebelum ini diuruskan oleh isterinya.
“Selepas itu… dia macam termenung dan khayal. Rumahnya bersebelahan dengan rumah bapa saudara saya, Fauzi dan mereka menjaganya,” kata Isyraq lagi.
Allahyarham popular pada 1980-an dan cukup dikenali dengan kebolehan melakonkan watak kanak-kanak bernama ‘Atan’ bersama Atuknya serta rakan berbilang kaum.