fbpx

Wany Hasrita Reda Jika Kekasih Diambil Orang

Meskipun sering ditanya soalan tentang jodoh, penyanyi Wany Hasrita tetap dengan pendirian untuk tidak mendedahkan identiti lelaki yang didakwa kekasihnya.

Wany berkata dia tidak mahu terlalu terbuka berkongsi hal peribadi kerana banyak perkara dia pelajari daripada rakan-rakan selebriti.

BACA: Wany Hasrita Tak Suka Pakai Ketat, Tak Kisah Baju Dikritik

“Sebab belum ada yang pasti pun lagi. Kenapa saya tidak mendedahkan, kerana ia lebih kepada pengalaman sendiri dan artis-artis lain.

“Saya perhati juga dan ambil pembelajaran daripada situ. Saya terbuka untuk berkawan dan kami masih dalam proses perkenalan,” katanya.

Walaupun masih berahsia, namun Wany mengakui dia sudah mengenali jejaka tersebut namun tidak boleh memberikan komen kerana perjalanan hubungan mereka masih jauh.

“Pada ketika ini, ibu pun dah kenal. Bila cakap pasal restu saya pun nervous lagi sebenarnya. Ibu saya pula sangat serius dalam hal ini.

“Sebagai ibu, saya pasti sudah tentu mahukan yang terbaik untuk anak tunggalnya ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Wany menafikan tanggapan segelintir pihak yang mendakwa dirinya bimbang pasangannya diambil orang jika terlalu terbuka mengenai hal cinta.

“Kalau kena caras tu (diambil orang) memang tak baik untuk diri kita. Memang saya redalah kalau berlaku. Terbuka atau tidak itu bukan masalahnya.

“Kalau dah memang ditakdirkan dia diambil orang dan dia pun membenarkan dirinya diambil orang, saya tak boleh nak buat apa-apa.

“Sebagai seorang selebriti, orang luar akan sentiasa melihat kita. Sama ada jadi atau tidak, lebih baik saya diam. Sampai masanya nanti ia akan jadi juga, InsyaAllah,” katanya.