fbpx

Baru saja beberapa hari lalu mengumumkan bakal berkahwin dengan penulis skrip bernama Dr Azra Diera, seorang wanita mendakwa dipermainkan oleh pelakon Azri Iskandar.

Memetik mStar Online, wanita dikenali sebagai F itu mendakwa Azri berjanji untuk bernikah dengannya dan dia sudah pun berjumpa dengan keluarga aktor itu.

BACA: “Saya Tak Curang Dengan Ellie, Kenal Azra Lepas Cerai” – Azri Iskandar

Menurut wanita itu, dia mengenali Azri sejak lima tahun lalu dan berhubung semula selepas dua hari Azri bercerai dengan bekas isterinya, Elly Suriaty.

“Saya dah kenal dia dalam lima tahun, dah lama lost contact. Tapi apabila dapat tahu dia cerai saya just contact tanya khabar dan tanya kenapa cerai selepas 19 tahun. Hubungan tu jadi rapat balik.

“Dia ajak jumpa selepas dua hari cerai tu. Tapi saya taknak sebab saya tak mahu dikatakan punca keretakan rumah tangga mereka,” katanya.

F berkata dia bersetuju untuk bertemu dengan Azri dan pada pertemuan itu aktor berkenaan menyatakan hasratnya untuk bernikah dengannya namun wanita itu mengakui terkejut kerana ianya terlalu cepat.

“Ketika perjumpaan itu, Azri ada memberitahu niatnya untuk bernikah dengan saya dan membawa saya untuk pulang ke kampung halamannya berjumpa dengan makcik dan ahli keluarga lain.

“Apabila jumpa tu tiba-tiba dia ajak nikah dan jumpa keluarganya kat kampung. Dia cakap nak nikah kat mana, buat kat masjid ke kat rumah. Saya pun tak habis fikir lagi. Tapi saya kata benda ni baru lagi kenapa nak nikah.

“Apabila dia ajak balik kampung saya ikut je la, tujuan dia untuk ziarah kubur. Saya jumpa dengan keluarga dia dan ahli keluarga dia… semua baik,” katanya.

Bagaimanapun, wanita itu berkata dia seolah dipermainkan apabila membaca berita Azri bakal berkahwin dengan wanita lain serta memilih untuk mengundur diri.

“Dia ada tunjuk perubahan sikit lepas balik dari kampung tu, lepas tu saya perasan dia rapat dengan perempuan nama Ara. Saya tanya siapa perempuan ini, dia kata hanya kawan.

“Saya undurkan diri. Sebenarnya saya terkilan juga tapi nak buat macam mana, apabila saya fikir balik itu adalah jodoh dia,” katanya.