fbpx

Wan Maimunah Akui Rindu Nak Bersuami

Bakal menyambut raya tanpa insan bernama suami, pelakon air mata, Wan Maimunah mengakui rasa sunyi. Memetik Kosmo, pelakon berusia 65 tahun itu berkata rindu untuk bersuami namun meluahkan rasa syukur dikelilingi insan-insan yang baik hati.

BACA: Wan Maimunah Sedih Hanya Dibayar RM200 Jayakan Telefilem

“Bila usia dah makin meningkat ini, orang ‘single’ macam saya sering terkenangkan kalau saya jatuh sakit, siapa akan ada di sisi.

“Kalau ada suami atau pasangan, sudah tentu bila sakit, dia akan jaga makan minum pakai kita. Itupun kalau dapat pasangan yang baik. Seseorang yang tahu untuk menghargai baik buruk kita.

“Sudah tentu saya rindu untuk bersuami tapi itu tidak bermakna saya perlu termenung dan menunggu lelaki sesuai yang ingin berdamping dengan saya sebagai seorang suami.

“Pada usia sekarang, saya fikir kalau ada, ada lah. Kalau tiada (jodoh) lagi, saya pun okey dan akan meneruskan kehidupan seperti biasa. Ramai lagi orang sayang,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Mainumah berkongsikan raya kali ini dia berada di rumah anak angkatnya, Ita di Ijok, Kuala Selangor.

“Saya ini menumpang kasih orang. Saya cukup bersyukur dengan kehadiran Ita dalam hidup. Walaupun saya ini sekadar ibu angkat, dia layan macam saya ini darah dagingnya.

“Rasa macam biasa. Ada berada di Ijok kebanyakan masa. Kalau Ita balik Negeri Sembilan, saya akan ikut sekali kalau dipelawa. Itu sahajalah rutin raya sekarang,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kehidupan tanpa suami, Wan Maimunah berkata dia tidak sunyi kerana selain dua cahaya mata dia turut mempunyai ramai anak angkat . 

“Buat apa nak rasa sunyi sangat. Nanti mati seorang diri juga di dalam kubur. Segala harta, kasih sayang bersama orang lain akan dipisahkan dengan kita.

“Alhamdulillah, Allah kurniakan saya kesihatan yang baik pada usia sekarang dan pada masa sama, dikelilingi manusia yang baik hati sentisa tak lokek dengan kasih sayang. Walaupun saya ini bukanlah siapa-siapa tidak mempunyai pertalian darah buat diri mereka,” katanya.