fbpx

“Walaupun Suara Saya Sumbang, Jangan Rampas Mic”

Baru-baru ini, penyanyi remaja Haqiem Rusli mencetuskan kemarahan netizen dan dilabel biadap apabila bertindak merampas microfon peserta program realiti ‘I Can See Your Voice Malaysia’ kerana menyanyikan lagunya dengan nada sumbang.

Berikutan itu, Haqiem memberi penjelasan tentang isu tersebut dengan memberitahu tindakannya itu sekadar untuk memeriahkan program tersebut dan meminta agar netizen berhenti mencari kesalahannya.

BACA: “Just For Fun, Jangan Asyik Cari Kesalahan Saya”

Bagaimanapun, peserta program realiti tersebut yang dikenali sebagai Mohd Syamsul Nordin berkata tindakan Haqiem itu sememangnya tidak wajar dan sepatutnya dia menghormati peserta yang terlibat.

“Pendapat saya, mungkin tindakan Haqiem itu tidak wajar dilakukan apatah lagi dia seorang artis. Kerana setiap tindak tanduk anda diperhatikan.

“Biarpun suara saya sumbang, sepatutnya dia kena hormat dan membiarkan saya menyanyikan lagu sampai habis. Kalau tonton program itu versi Korea, juri-juri mereka tidak akan melakukan seperti itu.

“Tapi saya tak marah dia, cuma rasa terkejut dan tak sangka Haqiem tiba-tiba naik ke pentas dan rampas mikrofon itu,” kata Syamsul kepada mStar Online.

Syamsul memberitahu keluarganya juga tidak berpuas hati dengan insiden tersebut, namun mereka mengambil perkara itu secara positif kerana tujuannya untuk menyertai program tersebut untuk menghiburkan orang ramai dan tidak kisah jika suaranya diperkatakan.

Dalam pada itu, Syamsul yang berasal dari Tawau, Sabah meminta agar Haqiem Rusli lebih berhati-hati ketika melakukan apa saja perkara selepas ini.