fbpx

Walaupun Masuk Penjara, Bella Astillah Tetap Bangga Dengan Aliff Aziz

Umum mengetahui penyanyi dan pelakon Aliff Aziz telah dijatuhkan hukuman penjara dua minggu dan denda RM1,500 selepas didapati bersalah mencuri dan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam.

Meskipun ramai yang beranggapan Aliff seolah tidak serik melakukan kesilapan berulang kali, namun pelakon Bella Astillah tetap berbangga dengan suaminya kerana tidak melarikan diri dan mengakui kesilapan yang dilakukannya.

BACA: Aliff Aziz Terima Hadiah Istimewa Dari Bella Astillah Sebelum Dihukum Penjara

“Alhamdulillah ramai yang mendoakan tapi ada juga yang kata dia buat hal lagi sedangkan itu kes lama. Saya bangga dengan dia sebab mengaku kesalahan.

“Pada saya, Aliff dah menerima balasan di dunia dan dia pun sedang memperbaiki dirinya. Saya selalu berpesan dekat dia supaya sentiasa kena kuat. Sebagai seorang lelaki, dia kena mengaku kesilapannya.

“Dia pun tak lari daripada apa yang dah dilakukan. Kes tersebut tidak terlalu berat tetapi di Singapura sangat tegas sebab itu dia kena juga jalani hukuman yang ditetapkan,” katanya kepada mStar Online.

Pada 7 Ogos lalu, Aliff mengaku bersalah di atas dua pertuduhan itu di Mahkamah Negara Singapura. Menurut kertas pertuduhan, Aliff didakwa mencuri wang S$300 (RM950) dan 1 juta rupiah (RM285) milik seorang pelakon dan ahli politik Indonesia.

Bagi pertuduhan kedua adalah bagi kelakuan tidak senonoh dengan menjerit dan menunjukkan isyarat menggunakan tangan semasa berada di tempat awam. Ketika kejadian itu, Aliff didapati mabuk sekitar 5.30 pagi di kawasan Orchard Road.