Visi Komuniti ASEAN 2045 yang berlandaskan empat teras utama iaitu daya tahan, inovasi, dinamisme dan berpaksikan rakyat sebagaimana digariskan dalam Deklarasi Kuala Lumpur disifatkan sebagai komprehensif dan progresif.
Penganalisis sosiopolitik, Profesor Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, visi itu juga realistik kerana menzahirkan keperluan kolektif ASEAN untuk menyesuaikan diri dalam dunia pasca-pandemik yang sarat dengan cabaran seperti perubahan iklim, konflik geopolitik, kemiskinan multidimensi dan jurang digital.
Namun pensyarah kanan Universiti Malaya (UM) itu menegaskan, persoalan utama sekarang adalah keupayaan pelaksanaan dan kesepaduan dalaman ASEAN.
Sebagai contoh katanya, ketidakseimbangan pembangunan antara negara anggota seperti perbezaan kapasiti ekonomi dan politik antara Singapura dan Myanmar menimbulkan cabaran besar terhadap pelaksanaan bersama.
Justeru katanya, visi berkenaan hanya akan menjadi realistik jika ASEAN bersedia melaksanakan reformasi institusi dalaman termasuk memperkukuh mekanisme pemantauan dan pematuhan ke atas komitmen yang telah dibuat.
“Visi Komuniti ASEAN 2045 sebenarnya bukan mustahil, tetapi kejayaannya sangat bergantung kepada kemahuan politik, reformasi struktur dalaman ASEAN serta keupayaan untuk menyesuaikan prinsip lama dengan cabaran baharu.
“Malaysia sebagai suara kesederhanaan dan jambatan antara Asia Timur dan dunia Islam, harus terus memainkan peranan strategik dan progresif dalam merealisasikan visi ini,” katanya kepada Rotikaya.

Dr. Awang Azman Awang Pawi
Mengulas lanjut, Dr Awang Azman berkata, salah satu elemen yang dilihat paling mencabar dalam visi berkenaan ialah komitmen ASEAN untuk menjadi komuniti yang berpaksikan rakyat.
Katanya, perkara itu kerana ASEAN selama ini masih dilihat sebagai elitokratik dan birokratik iaitu terpisah daripada suara akar umbi.
Katanya, ASEAN juga tidak ada struktur tetap untuk penyertaan masyarakat sivil dalam proses penggubalan dasar, berbeza dengan model Kesatuan Eropah (EU) yang menyediakan saluran terus di antara rakyat dan institusi serantau.
“Tambahan pula, tahap keterbukaan masyarakat sivil dan kebebasan bersuara berbeza secara ketara antara negara ASEAN, contohnya antara Filipina dan Laos.
“Ini menjadikan kerjasama antara rakyat serantau satu cabaran. Tanpa reformasi terhadap mekanisme konsultatif serantau, matlamat ini akan kekal simbolik,” jelasnya.
Sehubungan itu, Dr. Awang Azman mencadangkan tiga strategi mendekati akar umbi untuk menjadikan ASEAN benar-benar berpaksikan rakyat, seperti berikut:
Penginstitusian Forum Masyarakat Sivil ASEAN secara berkala dan rasmi dalam setiap sidang kemuncak dengan perwakilan yang sah dan tidak bersifat simbolik semata-mata.
Platform digital rakyat ASEAN iaitu satu portal interaktif berbilang bahasa yang membolehkan rakyat memberi maklum balas terhadap dasar serantau, mengikuti perkembangan, serta mengemukakan cadangan atau petisyen kepada Sekretariat ASEAN.
Program pertukaran akar umbi ASEAN yang melibatkan pelajar, NGO, pengusaha kecil dan golongan muda untuk menyertai inisiatif serantau bagi meningkatkan solidariti rentas sempadan.
“Tanpa pendekatan ini, retorik “ASEAN milik rakyat” hanya tinggal slogan diplomatik. Hubungan ASEAN dengan rakyat perlu diperkasakan dengan akses, suara, dan penglibatan yang tulen,” katanya.

Malaysia disaran memainkan peranan perintis memacu transformasi digital dan ekonomi hijau ASEAN. GAMBAR: Fath Rizal/ PMO
Menyentuh isu geopolitik dan keselamatan, Dr. Awang Azman berkata ASEAN berada di persimpangan antara mempertahankan prinsip tidak campur tangan dengan keperluan respons tangkas terhadap krisis serantau, seperti konflik Myanmar.
Jelas beliau, walaupun prinsip itu penting untuk menjamin kedaulatan negara anggota, ia juga telah mengehadkan keberkesanan ASEAN sebagai badan pengantara konflik.
Pun begitu katanya, ASEAN telah mula menunjukkan perubahan melalui pelantikan utusan khas, Five-Point Consensus dan kerjasama trilateral dalam isu-isu keselamatan maritim.
“Cabaran utama ialah mewujudkan rangka tindakan yang membolehkan tindakan kolektif dalam situasi darurat serantau tanpa mencabuli prinsip tidak campur tangan secara terang-terangan. Misalnya melalui platform ASEAN+ dan Track II diplomacy (saluran tidak rasmi).
“Untuk memperkukuh peranan keselamatan tanpa membatalkan prinsip asas, ASEAN perlu memantapkan mekanisme preventive diplomacy dan menyegerakan pembangunan ASEAN Security Outlook yang lebih responsif dan inklusif,” katanya.
Ditanya apa inisiatif konkrit yang Malaysia patut ketuai bagi menterjemah sasaran ekonomi dinamik & berdaya saing ASEAN 2045, Awang Azman berkata sebagai negara ekonomi sederhana besar dan tuan rumah deklarasi, Malaysia perlu memainkan peranan perintis dalam memacu transformasi digital dan ekonomi hijau ASEAN.
Katanya, dua inisiatif konkrit yang boleh diketuai Malaysia ialah penubuhan Rangkaian Ekonomi Digital ASEAN (ASEAN Digital Economic Corridor) yang memudahkan integrasi digital rentas sempadan yang mampu memangkin ekonomi e-dagang, fintech (teknologi kewangan) dan startup (syarikat permulaan) di rantau ini.
Begitu juga pelaksanaan Blueprint Tenaga Hijau ASEAN 2045 di mana Malaysia boleh mencadangkan dana pelaburan serantau untuk teknologi lestari, tenaga boleh diperbaharui dan pemindahan teknologi, katanya.
“Peranan Malaysia tidak harus terbatas sebagai tuan rumah sidang kemuncak tetapi sebagai penggerak idea melalui institusi seperti ASEAN-Malaysia Business Council dan rangkaian penyelidikan serantau,” katanya.