fbpx

Vie Shanti Tidak Halang Anak Jumpa Bapa

Setelah bercerai lebih setahun lalu bersama bekas isterinya, Vie Shanti, Eizlan Yusof menyatakan bahawa dia tidak pernah dihalang untuk meluangkan masa bersama anak-anak atau membawa anak tinggal bersamanya.

BACA: Eizlan Yusof Komen Hubungan Bekas Isterinya, Zizan Razak

“Alhamdulillah Vie tidak pernah meletakkan sebarang had. Saya percaya Vie faham anak-anak juga memerlukan kasih sayang seorang bapa. Justeru, dia tiada masalah sekiranya saya mahu bertemu atau membawa anak-anak tinggal bersama pada bila-bila masa,” katanya.

Malah tambahnya kepada Harian Metro, walaupun dia sibuk dengan kerja dan juga perniagaannya, dia tetap mencari masa untuk bersama anak-anak. Bagi Eizlan, ketiga-tiga cahaya mata yang dikurniakan itu adalah keutamaannya.

“Siapa yang mengikuti perkembangan saya di laman Instagram, pasti tahu saya kerap habiskan masa bersama anak-anak. Bagi saya, walaupun sibuk dengan rutin kerja yang tidak menentu, anak-anak tetap menjadi keutamaan”

“Selalunya saya dan anak-anak akan berbincang ke mana kami mahu pergi,” jelasnya. Eizlan dan Vie mendirikan rumah tangga pada 7 Julai 2007 dan bercerai pada 16 Februari 2015. (rtky/s)