fbpx

Vicha Akhirnya Dedah Wajah Suami Tercinta

Selepas lebih tiga tahun mendirikan rumah tangga, pelawak dan pelakon Vicha akhirnya mendedahkan wajah suaminya dikenali sebagai Johnson di Instagram semalam.

Memetik laporan Harian Metro, Vicha berkata dia membuat perjanjian dengan sahabatnya, Syura untuk sama-sama mendedahkan wajah suami mereka jika sudah bersedia.

BACA: Vicha Dedah Sudah Berkahwin Kali Kedua Dengan Jejaka Nigeria

“Saya dan Syura memang rapat dan kami pernah berjanji, kalau suatu hari nanti, Syura dah dedahkan wajah Farizat (suami Syura) kepada umum, saya akan dedahkan wajah suami saya.

“Jadi, semalam, ketika bergambar bersama pasangan pengantin baru itu, suami saya pun bersetuju untuk saya muat naik gambarnya ke Instagram pada hari ini,” katanya.

Vicha berkata suaminya itu sememangnya seorang yang pemalu untuk bergambar namun dia menjelaskan pada suaminya itu supaya membiasakan diri apatah lagi dengan kerjayanya dalam industri hiburan.

“Sepanjang tujuh tahun kami berkenalan sehinggalah sudah berumah tangga, boleh dikira dengan jari sahaja berapa keping gambar yang diambil. Dia memang jenis pemalu untuk bergambar.

“Tapi, disebabkan saya bekerja di dalam industri hiburan, mahu atau tidak, dia perlu membiasakan dirinya. Gambar yang saya muat naik ke Instagram itu pun, dia yang pilih,” katanya.

Terdahulu, Vicha mendedahkan sudah tiga tahun mendirikan rumah tangga buat kali kedua dan dikurniakan seorang anak lelaki Michael Trevo Ayomide yang kini berusia dua tahun.