Hujung bulan lalu, penyanyi Usop berkongsikan berita gembira apabila isterinya Nur Fatihah disahkan hamil empat minggu cahaya mata pertama mereka.
Bagaimanapun, keterujaan Usop itu ditegur oleh ibunya kerana terlalu awal berkongsikan perkara itu kepada umum. Malah, Usop mengakui kesilapannya itu mungkin menggores hati pasangan diluar sana yang belum lagi dikurniakan cahaya mata.
BACA: Hampir 2 Bulan Nikah, Usop Sebak Isteri Sah Hamil
“Rezeki dapat baby tak dirancang sebab isteri memang betul-betul teringin nak ada anak. Saya kongsi video itu sebab saya dan isteri terlalu teruja, tambahan pula isteri gembira sangat nak timang anak. Bagi saya, soal zuriat ini tak boleh nak rancang.
“Rezeki Allah yang nak beri. Cuma saya akui kesilapan saya berkongsi terlalu awal. Ibu saya juga tegur mengenai perkara itu,” katanya.
Dalam pada itu, Usop turut berkongsikan rasa kebimbangan akan kesihatan dan keadaan isterinya yang kini berniaga di bazar Ramadan.
“Fatihah meniaga kuih muih di bazar sepanajng bulan puasa ini. Saya sudah melarang namun dia tetap nak meniaga, jadi sebagai suami kenalah bantu apa yang patut,” katanya.
Usop dan Fatihah mendirikan rumah tangga pada 4 Februari lalu selepas tiga bulan mengikat tali pertunangan pada 4 November tahun lalu.