fbpx

Usia 16 tahun, Anak Norman Hakim Jadi Imam Solat Terawih

Sebagai ibu bapa tiada apa yang lebih membahagiakan selain daripada melihat anak menjadi orang yang berjaya dan beriman. Umum mengetahui, anak sulung Norman Hakim dan bekas isteri, Abby Abadi iaitu Danish Hakim merupakan seorang hufaz Al-Quran.

Menerusi Instagram, Norman meluahkan rasa gembira dan tidak menyangka anak lelakinya yang baru saja berusia 16 tahun diberi kepercayaan menjadi imam untuk solat sunat Terawih di Pusat Pengajian Warga Emas Darul Ilmi MAIWP.

Lebih membuatkan Norman terharu ialah dia sendiri menjadi makmum dalam saf jemaah Terawih tersebut.

“Hari penting dalam hidup saya dan of course hari penting dalam hidup Al-Hafiz Danish Hakim. Kali pertama Danish diberi mandat menjadi Imam Terawih di Pusat Pengajian Warga Emas Darul Ilmi MAIWP.

“Alhamdulillah syukur,tak pernah dalam jangkauan akal yg zuriat sendiri akan mengimamkan terawih.Hadiah nan Agung dari Allah s.w.t, mungkin sebahagian dari doa yg didengariNya ketika pintu langit terbuka, mungkin di dalam Lailatulqadar tahun-tahun sebelumnya wallahualam.

“Terima kasih Allah s.w.t atas nikmat kurniaanMu walau sedar khilaf hambaMu ini masih tak melayakkanku untuk semua kurniaanMu.Tapi Kau tahu Aku tak pernah lelah berusaha menagih taubat & kasih sayangMu,” tulisnya.

Perkongsian Norman itu ternyata menyentuh hati netizen malah ada yang mengalirkan air mata. Netizen turut memuji dan berbangga dengan cara didikan Norman dan Abby Abadi. Dalam entri lain, Norman turut memuat naik video anaknya mengimamkan solat Terawih.

Danish yang mengikuti pengajian di Madrasah Uthmaniyah Tahfiz, Bangi telah menyambung pengajian tahfiznya ke Turki sebelum ini.

Danish merupakan anak hasil perkahwinan Norman bersama Abby terdahulu. Selain Danish, mereka juga dikurniakan dua lagi anak perempuan iaitu Marissa Dania, 14, dan Maria Danisha, 12.