fbpx

Untungnya! Lebih 160,000 Ibu Tunggal Layak Terima Bantuan One-off RM300

Wah! Untung betul ibu-ibu tunggal kita ni bila layak dapat bantuan one-off RM300, bantuan yang boleh membantu mereka!

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menerima hampir 200,000 permohonan untuk Bantuan Khas Ibu Tunggal. Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata daripada jumlah itu seramai 161,909 permohonan layak untuk menerima bantuan tersebut.

Beliau berkata di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA), KPWKM menerima peruntukan sebanyak RM45 juta untuk membantu 150,000 ibu tunggal yang layak dengan bantuan one-off RM300. Dan pihaknya mengambil keputusan untuk membantu kesemua 161,909 ibu tunggal yang layak. Alhamdulilah!

“Kementerian mengambil keputusan untuk memberi kepada semua yang layak walaupun peruntukan hanya untuk 150,000 orang, tetapi kami gunakan peruntukan dalaman untuk diberikan kepada tambahan 11,909 ibu tunggal kerana kami nak membantu seramai mungkin mereka yang layak dan terjejas.

“Proses pembayaran sedang dibuat sekarang dan semua penerima bantuan akan terima selewat-lewatnya pada 31 Dis ini,”

Ini yang beliau katakan selepas menghadiri Program Kembara Prihatin Negara – Bantuan Khas Ibu Tunggal, hari ini.

Rina berkata setakat Khamis lepas, seramai 60,000 pemohon telah menerima Bantuan Khas Ibu Tunggal. Sementara itu, dalam program hari ini, seramai 45 ibu tunggal dari kawasan Dewan Undangan Negeri Tanjung Sepat, Dengkil dan Sungai Pelek menerima Bantuan Khas Ibu Tunggal dan bakul makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Untuk info tambahan anda, KPWKM juga mendapat peruntukan RM21 juta di bawah Belanjawan 2021 untuk membina Pusat Sokongan Sosial Setempat yang akan berfungsi sebagai pusat sehenti kepada golongan wanita.

Di bawah Pusat Sokongan Sosial Setempat ini, ia akan dilengkapi dengan pelbagai agensi dan juga akan menjadi tempat perlindungan untuk wanita yang terjejas. Beliau juga ada berkata yang pusat itu akan ditambah dan akan mula dibina di Selangor dan Johor.

Kredit info: BERNAMA