fbpx

Umur Dah 35 Tahun, Heliza Helmi Tak Tertekan Belum Kahwin

Usianya kini sudah pun menjengah 35 tahun, bagaimanapun penyanyi Heliza Helmi tidak rasa tertekan apabila belum lagi mendirikan rumah tangga.

Menurut Heliza, keutamaannya kini adalah pada keluarga dan misi kemanusiannya dan tidak pernah terfikir mengenai soal untuk berumah tangga.

BACA: “Tak Kemaruk Soal Cinta Jodoh, Heliza Helmi Layak Dijadikan Ikon”

“Sejujurnya saya tidak pernah terfikir mengenai soal rumah tangga dan sebagainya, mungkin kerana jadual harian padat dengan pelbagai aktiviti kemanusiaan. Jadi, tidak terfikir langsung mengenainya.

“Tipulah jika tiada yang bertanya, cuma saya bersyukur kerana ibu bapa juga tidak memberikan tekanan mengenai soal kahwin. Apabila tiba masanya kelak, pasti akan berlaku jua,” katanya.

Kata Heliza lagi, dia berharap agar seseorang yang tepat itu akan memberikannya sokongan moral serta kata-kata semangat kepadanya untuk terus berbakti dalam melakukan misi kemanusiaan.

“Tidak timbul soal dikongkong atau minat untuk berbakti ini disekat, saya berharap orang yang tepat itu nanti pasti akan memberikan sokongan moral. Bukan dari aspek untuk turut serta, namun sokongan dan kata-kata semangat.

“Adakah individu itu nanti berkongsi minat yang sama atau jatuh cinta ketika sedang melakukan misi kemanusiaan itu nanti? Saya tidak ada jawapannya kerana ketika misi itu fokus hanyalah membantu mereka yang memerlukan,” katanya.