Kehadiran sekumpulan warga asing di sebuah premis Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjadi perhatian selepas gambar mengenainya tersebar di media sosial, sekali gus mencetuskan pelbagai persoalan apakah tujuan mereka berada di situ.
Lebih mengundang spekulasi apabila hantaran tular itu mengaitkan kehadiran individu terbabit dengan urusan membuat kad pengenalan, sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah warga asing berkenaan hadir bagi mendapatkan MyKad.
JPN bagaimanapun tampil meluruskan keadaan dengan menjelaskan bahawa berada di premis jabatan itu sama sekali tidak boleh dijadikan ukuran bahawa seseorang sedang memohon kad pengenalan Malaysia, apatah lagi bakal diberikan MyKad.
“Untuk makluman, kehadiran seseorang di premis JPN tidak semestinya bermaksud individu tersebut sedang memohon atau akan diberikan MyKad.
“JPN menyediakan pelbagai perkhidmatan pendaftaran dan dokumentasi yang turut melibatkan individu bukan warganegara, bergantung kepada jenis urusan yang dijalankan,” menurut JPN.

Hakikatnya, bukan semua urusan di kaunter JPN berkait dengan kewarganegaraan atau MyKad kerana terdapat perkhidmatan tertentu yang sememangnya perlu dilakukan oleh individu bukan warganegara.
Antaranya termasuk pendaftaran kelahiran selain urusan perkahwinan sivil membabitkan pasangan bukan warganegara.
Malah, kekeliruan antara urusan pendaftaran dengan pemberian kewarganegaraan bukan perkara baharu apabila JPN terpaksa memberikan penjelasan mengenai isu hampir sama pada Jun lalu.
Ketika itu, timbul kekeliruan apabila pendaftaran kelahiran individu bukan warganegara dikaitkan dengan pemberian kewarganegaraan Malaysia, termasuk persoalan mengenai sijil kelahiran berwarna merah jambu.
JPN menjelaskan sijil berkenaan sekadar mengesahkan sesuatu kelahiran telah didaftarkan di negara ini dan bukannya bukti bahawa pemegangnya merupakan rakyat Malaysia.

“Sijil kelahiran berwarna merah jambu merupakan bukti bahawa sesuatu kelahiran telah didaftarkan di Malaysia.
“Ia bukan bukti bahawa individu tersebut merupakan warganegara Malaysia. Sijil ini turut dikeluarkan kepada individu berstatus bukan warganegara, termasuk mereka yang tidak memenuhi syarat untuk memperoleh kewarganegaraan Malaysia,” jelas JPN.
Ini kerana setiap kelahiran yang berlaku di Malaysia perlu didaftarkan tanpa mengira status kewarganegaraan ibu atau bapa bagi memastikan kelahiran berkenaan mempunyai rekod rasmi.
“Pendaftaran ini penting bagi memastikan setiap kelahiran direkodkan secara rasmi dan tidak bermaksud kewarganegaraan Malaysia diberikan kepada individu berkenaan,” menurut jabatan itu.

JPN pada masa sama mengingatkan orang ramai supaya tidak membina kesimpulan mengenai status seseorang hanya daripada apa yang kelihatan dalam sekeping gambar atau rakaman video tanpa mengetahui urusan sebenar individu terbabit.
“Justeru, jangan membuat kesimpulan hanya berdasarkan kehadiran seseorang di JPN atau berdasarkan sekeping gambar tanpa mengetahui urusan sebenar yang sedang dijalankan.
“Mari kita sama-sama memahami sesuatu isu berdasarkan fakta, konteks dan penjelasan yang tepat, bukan semata-mata berdasarkan persepsi daripada sekeping gambar atau video rakaman yang tidak jelas,” menurut JPN.