fbpx

Tujuh Tahun Kahwin, Marsha Milan Nak Buat Rawatan IVF

Selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga, penyanyi Marsha Milan merancang untuk melakukan kaedah persenyawaan in-vitro (IVF) dalam usaha untuk mendapatkan cahaya mata.

Memetik Harian Metro, Marsha berkata sebelum ini dia dan suami sudah berusaha termasuk melakukan rawatan tradisional namun belum ada rezeki lagi.

BACA: Persembahan Trending Nombor 1 Di YouTube, Marsha Milan Masih Terkesima

“Kami sudah berusaha bermacam cara termasuk rawatan tradisional untuk mendapatkan anak sepanjang tempoh perkahwinan.

“Hasil pemeriksaan, doktor beritahu kami sihat dan tiada masalah dari aspek kesihatan untuk mendapatkan anak cuma belum ada rezeki saja lagi,” katanya.

Menurut Marsha, dia dan suami masih mencari masa yang sesuai untuk melakukan rawatan berkenaan kerana perlu mengambil cuti panjang.

“Sebelum ini, saya sibuk dengan komitmen pada Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37). Selepas AJL37 selesai, barulah kami berbincang semula mengenai IVF.

“Maklumlah untuk buat rawatan itu, saya perlu mengambil cuti yang panjang dari aktiviti seni. Insya-Allah, jika semuanya berjalan seperti direncanakan, saya akan mencuba kaedah IVF itu pada tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Marsha berkata jika tiada rezeki untuk mendapatkan zuriat sendiri, dia mempertimbangkan untuk mengambil anak angkat.

“Suami juga tidak menghalang tetapi buat masa ini, dia tidak mahu saya berfikir sejauh itu. Apapun, saya mohon doa daripada semua peminat semoga impian kami untuk memiliki anak sendiri tercapai tidak lama lagi,” katanya.

Untuk rekod, Marsha mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail pada 31 Disember 2015.