fbpx

Persembahan Trending Nombor 1 Di YouTube, Marsha Milan Masih Terkesima

Hampir lima hari berlalu, namuan cerita mengenai Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL 36) masih lagi menjadi bualan ramai termasuk persembahan Marsha Milan menerusi lagu Cinta.

Lebih mengejutkan, persembahan Marsha itu trending nombor satu di YouTube dan mencecah lebih 2 juta tontonan. Malah, nyanyian Marsha itu turut mendapat perhatian ramai pengulas video dari luar negara yang membuat ‘video reaction’ persembahan itu.

BACA: Kenapa Marsha Milan Tak Menang Vokal Terbaik? Ini Kata Ketua Juri

Sementara itu, Marsha berkata dia masih terkesima dengan sambutan diterima serta masih belum boleh proses apa yang berlaku sepanjang AJL itu.

“Saya ada dengar persembahan saya ‘trending’ yang mana dalam tempoh sehari lebih satu juta tontonan, tapi sejujurnya masih belum boleh proses apa yang berlaku di AJL. Saya masih lagi terkesima.

“Baru semalam dapat tengok semua video reaksi di YouTube. Saya berasa terkejut dan dalam masa sama gembira. Saya sebenarnya masih tak boleh percaya apa terjadi. Apa pun, saya terharu dengan segala ucapan diterima,” katanya.

Dalam pada itu, Marsha meluahkan rasa syukur diberikan kekuatan sepanjang persembahan selepas dijangkiti Covid-19 meskipun pada awalnya dia mahu menarik diri.

“Saya bersyukur pada Allah. Saya hanya ada Allah saja pada waktu itu untuk berikan kekuatan pada saya. Kalau ikutkan saya banyak kali cakap nak tarik diri, tapi pada saat akhir saya cakap pada pasukan tak apa saya nak nyanyi juga,” katanya.

Ahad lalu, lagu Cinta ciptaan Bunga Cantik dan Hang Nadim itu mendapat tempat kedua dan Marsha dinobat pemenang Persembahan Terbaik.