Tourism Malaysia Semarakkan Visit Malaysia 2026 di Vietnam

Tourism Malaysia menganjurkan pelbagai program promosi di Vietnam sebagai langkah memperkukuh kerjasama dua hala dalam sektor pelancongan serta menyemarakkan kempen Visit Malaysia 2026.

Tourism Malaysia dalam kenyatannya memaklumkan penyertaan dalam International Travel Expo Ho Chi Minh City (ITE HCMC) 2025 pada 4 hingga 6 September lalu menjadi platform strategik untuk mempamerkan kekayaan destinasi pelancongan Malaysia kepada pembeli antarabangsa, pemain industri dan pelancong.

Katanya, ITE HCMC 2025 bertemakan Sustainable Tourism, Vibrant Experiences itu memberi penekanan kepada pelancongan mesra alam, pemeliharaan budaya dan penglibatan pelancong secara lebih mendalam.

Fokus itu selaras dengan visi pelancongan Malaysia yang menitikberatkan pengembaraan berasaskan alam semula jadi, pelancongan berteraskan komuniti serta inisiatif ekokultural yang memberi manfaat kepada pelancong dan masyarakat setempat, tegas Tourism Malaysia.

“Selain memperkenalkan tarikan alam semula jadi dan budaya, Tourism Malaysia turut menonjolkan kekuatan negara sebagai destinasi utama Meetings, Incentives, Conferences, and Exhibitions (MICE).

Pengunjung Pavilion Malaysia tidak melepaskan peluang mencuba tarian tradisional

“Kumpulan antarabangsa antara 50 hingga 499 delegasi layak menerima pelbagai manfaat eksklusif termasuk cenderahati alu-aluan, sokongan sebahagian untuk makan malam gala atau resepsi, persembahan kebudayaan, photo booth, kaunter hospitaliti di lapangan terbang serta subsidi penginapan sehingga RM2,500.

“Berdasarkan saiz kumpulan, pakej sokongan ditawarkan antara RM7,920 hingga RM49,915, menjadikan Malaysia pilihan kompetitif untuk penganjuran acara perniagaan berskala kecil hingga besar,” kata kenyataan itu.

Mengulas mengenai MICE, Pengarah Tourism Malaysia Ho Chi Minh City, Amirah Nadiah Mazlan berkata, Malaysia bukan sahaja menawarkan kemudahan bertaraf dunia malah pengalaman budaya yang kaya untuk mencipta kenangan bermakna.

“Melalui program insentif ini, kami berhasrat memberikan sokongan kukuh kepada penganjur dan delegasi, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai hab MICE pilihan di rantau ini,” katanya.

Tourism Malaysia dalam kenyataan itu menjelaskan pihaknya juga mempromosikan Malaysia My Second Home (MM2H) yang menawarkan peluang kepada keluarga Vietnam untuk menikmati persekitaran selamat, pendidikan berkualiti dan kos sara hidup berpatutan di Malaysia.

Pengunjung mendapatkan maklumat berkenaan Visit Malaysia 2026

Katanya, penawaran pendidikan antarabangsa turut diketengahkan dengan ijazah yang diiktiraf global serta yuran pengajian kompetitif, menjadikan Malaysia pilihan mampu milik namun bertaraf dunia bagi pelajar Vietnam.

Di Pavilion Malaysia katanya, pengunjung berpeluang merasai pengalaman budaya negara melalui persembahan tradisional, demonstrasi kraftangan interaktif, seni inai dan pewter, serta permainan mini dengan hadiah eksklusif.

“Promosi pelancongan istimewa turut disediakan termasuk pakej menarik ke Malaysia, tawaran tiket AirAsia serta brosur percuma untuk rujukan pelancong,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada promosi kulinari, Tourism Malaysia turut menganjurkan Malaysia Food & Culture Promotion di Saigon Café, Sheraton Saigon Grand Opera Hotel dari 28 Ogos hingga 7 September lalu.

Katanya, bertemakan Ticket to Penang, kempen itu memperkenalkan cita rasa autentik Pulau Pinang kepada masyarakat Vietnam dengan hidangan istimewa yang disediakan oleh chef jemputan, Chang Song Cheong dari Penang Marriott Hotel.

Maskot Visit Malaysia 2026, Wira dan Manja membuat penampilan Istimewa di Pavilion Malaysia

“Pengalaman ini diperkaya dengan dua koktel berinspirasikan Pulau Pinang, memberikan peluang kepada pengunjung untuk merasai warisan kulinari Malaysia yang unik” tambahnya.

Sementara itu, Tourism Malaysia menegaskan Vietnam kekal sebagai salah satu pasaran utama Malaysia di ASEAN.

Katanya, bagi separuh pertama 2025, Malaysia telah menerima 168,677 pelancong dari Vietnam, menggambarkan daya tarikan negara ini sebagai destinasi pilihan.

Katanya, pada masa akan datang Malaysia komited membangunkan segmen pelancongan bernilai tinggi termasuk ekopelancongan, pelancongan komuniti, MICE dan insentif, kesihatan, pendidikan serta pakej penginapan jangka panjang.

“Usaha ini disokong dengan infrastruktur bertaraf dunia dan kerjasama erat bersama rakan serantau, sekali gus memacu pengalaman pelancongan fleksibel, peribadi dan autentik bagi memenuhi permintaan perjalanan masa kini,” kata kenyataan itu.

×