Filem-filem terbitan Disney selalunya akan laku di pasaran kerana populariti jenama dan kebiasaannya mereka membikin sesebuah cerita yang begitu sesuai untuk tontonan seisi keluarga. Bagaimana pula dengan filem ini? Teruskan membaca.

TOMORROWLAND (2015) ialah sebuah filem fiksyen sains. Idea asasnya kedengaran segar dan asli mengenai sebuah dimensi dunia alternatif kepada bumi yang begitu moden canggih hebat berteknologi tinggi. Penghuninya pula ialah golongan manusia cerdik pandai genius. Secara ringkasnya, Tomorrowland ialah dunia seumpama ‘syurga’ yang sangat amat hampir sempurna.

tomorrowland9

Namun begitu, filem ini keutamaannya bukan mengenai kehidupan di Tomorrowland tetapi lebih kepada pengembaraan menuju ke situ, sebagai destinasinya. Filem ini mengisahkan 2 orang manusia terpilih kerana kualiti tinggi minda mereka atau ‘dreamer’ yang terpilih untuk tinggal di situ tetapi dalam 2 jalur masa dan cerita yang berbeza. Mereka ialah Frank Walker (Thomas Robinson watak remaja dan George Clooney watak dewasa) dan Casey Newton (Britt Robertson). Penyambung hubungan di antara Frank dan Casey ialah sebuah robot Audio-Animatronic bernama Athena (Raffey Cassidy).

Taruhan utama konflik yang mencetuskan pengembaraan genting dan mencabar yang mesti dilalui oleh Frank, Casey dan Athena ialah untuk membetulkan sesuatu di Tomorrowland sebelum kejahanaman kekal bumi atau kiamat berlaku. Persoalannya, bagaimana hendak ke sana dan mampukah mereka mengubah kebinasaan yang kononnya sudah diramalkan akan berlaku itu, untuk tidak berlaku? Jawapannya, silalah ke pawagam sekarang.

AMARAN: Ulasan seterusnya mungkin mengandungi spoiler, baca dengan risiko sendiri

tomorrowland1

Tomorrowland ialah sejenis filem yang dasarnya berfalsafah tentang pilihan masa depan kemanusiaan dan kehidupan di bumi oleh manusia sendiri secara berdikari, tanpa menyentuh soal ketuhanan. Ia berpandukan logik fiksyen sains sahaja dan sejauh mana kemampuan manusia untuk berusaha dan berharap. Ia juga seakan pertembungan di antara fakta berkiraan secara saintifik yang diwakili oleh watak Frank tetapi berkontra dengan pilihan lain kebarangkalian subjektif yang diwakili oleh watak Casey.

Bagi Frank, setiap aksi akan ada reaksi dan dia benar-benar telah mencipta sesuatu rekaan di Tomorrowland yang mengira dengan tepat usia bumi. Bagi Casey pula, setiap tindakan memang pasti akan ada tindakbalas tetapi ia berbagai-bagai bergantung kepada usaha dan harapan manusia sendiri. Dalam ertikata lain, selagi sesuatu itu tidak berlaku walaupun diukur dengan kiraan sains yang sangat kedengaran betul, ia masih boleh diubah oleh manusia sendiri sebelum ia benar-benar berlaku. Ok! Filem ini macam berat sangat ya?

Sebenarnya filem ini mudah dihadam. Perjalanan ceritanya di peringkat awal dipandu oleh kisah watak Frank semasa kecil bagaimana dia dipilih oleh Athena untuk menjadi salah seorang penghuni Tomorrowland di tahun 1964. Penonton diperkenalkan kepada dunia hebat di Tomorrowland melalui pemaparan infrastruktur bangunan dan teknologi serta warna-warni fesyen penghuninya ala kombinasi filem-filem futuristik Blade Runner (1982) dan The Fifth Element (1997).

tomorrowland4

Kemudian, filem ini diambil-alih oleh watak Casey mengenai kisah keluarganya. Kemunculan watak Athena yang memberikan ‘pin’ ajaib kepada Casey menyulam kedua-dua cerita Frank dan Casey untuk berkembang bersama-sama sehingga ke penghujungnya. Di tengah-tengah filem ini dipadatkan dengan berbagai aksi cabaran yang dihadapi oleh mereka untuk kembali ke Tomorrowland. Kemunculan robot-robot pemusnah yang mengejar mereka begitu mirip kombinasi kumpulan yang diketuai oleh Agent Smith dalam The Matrix (1999) dan cyborg pembunuh dalam The Terminator (1984). Manakala kehebatan kepakaran aksi mempertahan diri oleh Athena mengingatkan saya kepada watak Hit-Girl dalam filem Kick-Ass (2010).

Tomorrowland mempunyai banyak cabang cerita kerana mempunyai 3 watak utama Frank, Casey dan Athena yang dipadatkan bersama dalam 3 era zaman 1960-an, sekarang dan masa hadapan di Tomorrowland. Ia bercampur-aduk dalam landskap fiksyen sains lompatan masa ke depan dan ke belakang serta rekonstruksi faktual ahli-ahli pemikir lampau iaitu Gustave Eiffel, Jules Verne, Nikola Tesla dan Thomas Edison yang kononnya berkait dengan penciptaan dunia Tomorrowland.

Disney's TOMORROWLAND David Nix (Hugh Laurie)  Ph: Film Frame ?Disney 2015

Keberuntungan filem ini ialah kerana mempunyai barisan kombinasi para pelakon senior dan baru yang bagus-bagus. Keseronokan tontonan gula-gula mata ber-CGI sekuen aksi dan dunia ajaib di Tomorrowland kepada penonton juga berjaya direalisasikan dengan begitu menakjubkan. Sebagai pengarah, Brad Bird yang terkenal dengan filem-filem animasi The Iron Giant (1999), The Incredibles (2004) dan Ratatouille (2007) serta filem aksi Mission: Impossible Ghost Protocol (2011) tahu bagaimana hendak memberikan paparan sinematografi dunia fiksyen sains yang hebat.

Secara sedar tak sedar, filem ini juga ialah sejenis product placement yang mega dari Disney memandangkan Tomorrowland itu memang wujud sebagai salah satu tarikan utama di taman temanya di seluruh dunia. Seperti filem The Lego Movie (2014), filem ini juga ialah iklan besar yang akan akan diumpankan oleh Disney untuk pasaran produknya berjenama Tomorrowland yang diperbaharui atau rebranding.

KESIMPULAN

tomorrowland3

Kembali kepada soalan asas adakah filem Tomorrowland terbitan Disney ini akan laku di pasaran kerana populariti jenama dan ceritanya begitu sesuai untuk tontonan seisi keluarga? Sudah tentu. Namun secara peribadi saya merasakan bahawa filem ini hanya gah dari sudut kualiti produksinya.

Ia terlalu mencuba beriya-iya untuk menghasilkan sebuah cerita yang kelihatan seakan-akan idea baru tetapi secara keseluruhannya ia hanya mengulangi formula klise tekapan moral dan identiti dari berbagai filem fiksyen sains sebelumnya untuk mengidamkan sebuah dunia yang sangat sempurna. Bagaimanapun, saya masih OK untuk berikan 3 BIJI ROTIKAYA.