fbpx

Tiket Persembahan Anuar Zain Kini Cecah RM1,380

Mungkin menyahut seruan trend terkini dalam suasana kenaikan harga barangan, Anuar Zain turut menaikkan harga tiket maksimum untuk menyaksikan persembahan beliau dari RM698 ke RM1,380. Kenaikan hampir sekali ganda.

Ketika konsert Anuar Zain Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari di Shah Alam sekitar Februari 2013, penyanyi ini menetapkan harga tiket konsertnya daripada RM88 sehingga RM698.

Namun untuk sambutan minggu setiausaha, menerusi persembahan khas ‘Terindah… Anuar Zain’ yang akan berlangsung di Hotel One World, Petaling Jaya pada 8 April ini harga tiket akan bermula dari RM480 sehingga RM1,380.

Anuar Zain bagaimana pun mempertahankan harga tiket persembahan beliau dengan berkata ianya berpatutan dengan apa yang akan diterima oleh para peminat yang hadir nanti.

“Harga itu berpatutan kerana ianya merangkumi makanan, door gift, kualiti persembahan dan memberi peluang kepada para peminat untuk mendekati diri saya”

“Kita juga menjanjikan susunan muzik yang lebih segar dan mantap bersesuaian dengan tema majlis iaitu ‘Terindah’. Ia hadiah ikhlas dari saya kepada peminat yang hadir nanti,” katanya.

Penyanyi ini juga berkata menerusi mStar Online hari ini yang beliau telah menolak lima tawaran persembahan untuk memberikan perhatian kepada persembahan khas minggu setiausaha ini.

Tiket tiket ke persembahan Anuar Zain ini akan mula dijual pada 7 Februari ini dan jika anda berminat boleh melayari www.ticketcharge.com.my. (rtky/m)