fbpx

“Tiada Sebab Saya Nak Minta Maaf, Memang Berlian Palsu”

Selasa lalu, Datuk Seri Vida memberitahu beliau sedia memohon maaf namun dalam masa sama turut memohon 3 perkara kepada pihak Aishah. Salah satu daripadanya adalah Aishah perlu memohon maaf berhubung penggunaan perkataan palsu mengenai barang kemas pemberiannya.

Bagaimanapun, penyanyi Aishah menegaskan tiada sebab untuk beliau membuat permohonan maaf kepada Vida kerana berlian tersebut sememangnya palsu dan pakar telah pun mengesahkannya.

BACA: Jika Aishah Tunaikan 3 Perkara, DSV Sedia Mohon Maaf

“Tak ada sebab saya nak minta maaf kerana sememangnya barang kemas yang saya dapat adalah berlian palsu. Bukan lab diamond bukan mossainite swiss diamond tetapi Swarovski cubic zirconia. Mana mungkin saya tarik balik kenyataan berlian palsu itu sedangkan pakar gemologi telah pun mengesahkannya,” katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Aishah berkata dia tidak akan menarik balik kenyataan tersebut kerana ia melibatkan maruah sebagai anak seni dan sebagai pihak penaja mereka perlulah menunaikan ganjaran seperti yang dijanjikan.

“Di mana integriti dan kredibiliti saya seandainya saya menarik balik kenyataan yang benar hanya kerana dia menawarkan barang kemas yang tak palsu. Ini melibatkan maruah kami sebagai anak seni, kami punya bakat dan kebolehan yang org lain tak ada. Penaja ada duit untuk menaja program.

“Saling memerlukan situasi menang-menang apabila perkhidmatan kami buat sebaik mungkin dan pihak penaja sudah mendapat liputan yang meluas untuk produk mereka. Jadi mereka kenalah tunaikan ganjaran yang dijanjikan,” ujarnya.