fbpx

Tiada Persengketaan Di Antara Yuna Dan Uji Rashid

Yunalis Zaraai yang balik ke Malaysia untuk meraikan kejayaan beliau dan Aizat di AJL 27 baru-baru ini memberitahu pihaknya menjemput Uji Rashid ke kenduri kesyukuran yang berlangsung di rumah Aizat malam semalam.

Memberitahu pihak wartawan, Yuna yang ditemui anggun berbaju kurung biru nyata terkilan dengan isu yang dibangkitkan mengenai kejayaan lagunya “Terukir Di Bintang” setelah penyanyi veteran itu disingkirkan dari membawakan lagu tersebut.

Dia turut memberitahu bahawa ada menjemput Uji Rashid untuk sama-sama meraikan kenduri kesyukuran tersebut namun ditolak baik oleh Uji kerana terdapat persembahan yang perlu dipenuhi.

“Saya ada menjemput kak Uji untuk malam ini namun dia tidak berkesempatan untuk datang kerana ada show pada hari yang sama”

“Hubungan saya dan Kak Uji yang juga merupakan idola saya sejak kecil lagi baik sahaja, tiada persengketaan antara kami kerana isu tersebut bukanlah datang dari saya”

Yuna yang berusia 27 tahun ini turut memuji penyanyi veteran tersebut mempunyai suara yang klasik dan dia amat berbersar hati jika diberikan peluang untuk bekerjasama dengan beliau untuk masa akan datang.

Walaupun pelbagai spekulasi dan andaian yang diberikan dari pelbagai pihak, Yuna ternyata begitu positif di dalam menangani isu yang datang kerana padanya karier seninya yang kini semakin meningkat di Amerika Syarikat perlu diberi perhatian penuh.

“Saya baru sahaja menandatangani perjanjian bersama rekod label dibawah David Foster dan kini sibuk di studio rakaman oleh yang demikian masa saya banyak dihabiskan di sini”

Bagi mereka yang mungkin tidak tahu, Yuna turut meminjamkan suaranya untuk lagu tema bagi filem animasi Dreamwork berjudul The Croodz.

Antara kejayaan yang patut dibanggakan untuk anak muda seperti Yuna! Tahniah diucapkan kepada beliau.